Hamil luar nikah, krisis senyap membimbangkan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KEHAMILAN luar nikah dalam kalangan remaja kembali menjadi perhatian apabila statistik terkini menunjukkan trend yang meresahkan, sekali gus menuntut pendekatan lebih menyeluruh semua pihak.

Data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan 44,263 kes kehamilan remaja dalam tempoh lima tahun lalu, dengan 17,646 daripadanya melibatkan remaja tidak berkahwin.

Bagi tempoh 2020 hingga 2024 pula, sebanyak 9,737 kelahiran luar nikah direkodkan membabitkan remaja berusia 10 hingga 19 tahun.

Angka-angka ini mungkin jauh lebih tinggi kerana masih ramai remaja tidak tampil mendapatkan rawatan atau bantuan akibat rasa takut, malu dan stigma masyarakat.

Kehamilan luar nikah bukan sekadar keputusan impulsif tetapi sering berpunca daripada kurangnya pendedahan awal mengenai tubuh badan, batas hubungan dan risiko hubungan seksual tanpa perlindungan.

Isu ini masih dianggap tabu dalam banyak keluarga sehingga ramai remaja mendapatkan maklumat daripada sumber salah seperti rakan sebaya, media sosial dan kandungan hiburan yang tidak ditapis.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri dalam kenyataan terbaharu menegaskan keperluan mendesak memperkukuh pendidikan kesihatan reproduktif.

Beliau menyifatkan perbincangan mengenai topik seksualiti sebagai sesuatu yang tidak lagi wajar dianggap tabu, sebaliknya perlu disampaikan secara berinformasi dan bertanggungjawab.

Menurut Nancy, tahap pengetahuan remaja mengenai kesihatan reproduktif masih rendah walaupun akses maklumat kini amat mudah.

Artikel Berkaitan:

Situasi itu, katanya, menyumbang kepada peningkatan kes kehamilan remaja, termasuk di Sarawak merekodkan 9,258 kes antara 2019 hingga 2023, dengan lebih 5,600 daripadanya adalah kehamilan luar nikah.

Nancy turut menjelaskan modul Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEKERTI) berpotensi mengurangkan kadar kehamilan remaja hampir 49 peratus dalam tempoh lima tahun sekiranya digerakkan di sekolah dan komuniti.

Pakar kesihatan awam pula melihat isu ini sebagai satu lingkaran masalah yang melibatkan kesihatan fizikal, psikologi dan masa depan pendidikan remaja.

Remaja hamil lebih berisiko mengalami komplikasi, tekanan emosi dan stigma sosial, selain ada yang terpaksa menamatkan persekolahan.

Keadaan ini bukan sahaja menjejaskan masa depan mereka tetapi memberi kesan kepada anak yang bakal dilahirkan terutamanya dari segi dokumentasi dan akses kepada perkhidmatan asas.

Dalam konteks pencegahan, ibu bapa disarankan bersikap lebih terbuka dalam membincangkan isu berkaitan hubungan dan keselamatan diri bersama anak-anak.

Pendekatan mengelak atau menghukum hanya mendorong remaja mencari jawapan daripada sumber tidak sahih, terutama di media sosial. Sikap keterbukaan ini perlu disokong oleh sekolah melalui modul pendidikan yang lebih komprehensif, serta saluran bimbingan yang dapat diakses remaja tanpa rasa dihakimi.

Sementara itu, pihak kerajaan digesa memperkukuh perlindungan undang-undang berkaitan kanak-kanak, pencegahan eksploitasi seksual dan perkahwinan bawah umur.

Kerjasama antara kementerian seperti KKM, KPWKM dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) penting bagi memastikan setiap intervensi dilaksanakan secara berkesan.

Walaupun isu ini kompleks, namun ramai pakar percaya langkah pencegahan awal, pendidikan yang tepat dan hubungan keluarga sihat mampu mengurangkan risiko kehamilan luar nikah dalam kalangan remaja. Seperti diingatkan Nancy, isu ini tidak boleh dipandang enteng.

“Jika kita terus mengelak daripada membincangkannya, mereka akan mencari maklumat di tempat salah,” jelasnya.

Kehamilan luar nikah remaja bukan sekadar angka dalam laporan tahunan ia cerminan cabaran generasi muda yang perlu ditangani secara bijaksana, sensitif dan kolektif.

Mencegahnya memerlukan kerjasama semua pihak. Kita perlu mencipta masyarakat yang melihat masalah ini bukan sebagai skandal tetapi sebagai jeritan minta tolong.

Hamil luar nikah bukan pengakhiran hidup tetapi membiarkan bayi mati tanpa peluang hidup adalah tragedi yang tidak boleh diterima.

Sebagai masyarakat, mari kita tukar budaya menghukum kepada budaya memimpin kerana menyelamatkan seorang bayi bukan sekadar menyelamatkan nyawa sebaliknya ia menyelamatkan masa depan sebuah bangsa.

*Zubir Sulaiman ialah Sub Editor Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!