Trump guna pendekatan 'lebih lembut'

WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dilihat cuba menggunakan pendekatan 'lebih lembut' untuk menjayakan proses damai Rusia-Ukraine selepas usaha beliau sebagai pendamai krisis itu selama beberapa bulan gagal menunjukkan perkembangan positif.
Ia jelas berbeza ketika beliau menggalas peranan sama untuk mencapai perjanjian damai Gaza pada bulan lalu apabila pemimpin Republikan itu mengugut dan memberi kata dua kepada Hamas supaya akur dengan cadangannya.
Trump dilaporkan menarik balik tarikh akhir yang ditetapkan pada 27 November (Khamis) untuk Kiev bersetuju dengan pelan damai dicadangkan Washington.
“Kami hanya mahu perjanjian damai dicapai secepat mungkin. Tarikh akhir bagi saya ialah apabila perang selama hampir empat tahun itu tamat,” ujarnya kepada wartawan yang bersama-sama menaiki pesawat rasmi, Air Force One untuk pulang ke Florida sempena cuti Hari Kesyukuran pada Selasa.
Beliau juga memaklumkan perunding AS sudah membuat kemajuan memberangsangkan dalam perbincangan bersama Moscow dan Kiev serta Kremlin telah bersetuju dengan beberapa konsesi.
Presiden ke-47 AS itu bagaimanapun tidak memberikan butiran secara terperinci.
Menerusi laporan yang mendedahkan 28 perkara pelan damai AS pada minggu lalu hingga mencetuskan kebimbangan kepada banyak pihak, pentadbiran Trump didakwa akan menggunakan pendekatan 'lebih tegas' untuk menggesa Ukraine menandatangani perjanjian damai yang lebih berpihak kepada seterunya sebagai cubaan untuk melobi Presiden Rusia, Vladimir Putin yang sehingga kini enggan tunduk dengan desakan Barat.
Beliau berpendapat Rusia mempunyai 'kelebihan' dalam peperangan tersebut dan Kiev perlu akur dengan syarat ditetapkan demi kebaikan semua pihak.
“Jaminan keselamatan Ukraine sedang dibincangkan bersama Eropah. Beberapa wilayah negara itu mungkin akan dirampas Moscow dalam tempoh beberapa bulan akan datang,” jelas Trump lagi.
Selama beberapa bulan, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy secara lantang mendakwa Kremlin cuba menggagalkan inisiatif diplomatik tersebut sedangkan ia sebenarnya berpunca daripada kempen tekanan Washington yang kini beralih sokongan kepada Rusia. - Agensi
Ringkasan AI
- Presiden Amerika, Donald Trump, mengubah pendekatan menjadi 'lebih lembut' untuk mendorong proses damai Rusia-Ukraine
- Trump menarik balik tarikh akhir yang sebelumnya ditetapkan untuk Kiev menyepakati pelan damai AS
- Perunding AS dilaporkan telah membuat kemajuan dalam perbincangan dengan Moscow dan Kiev, dengan Kremlin bersetuju dengan beberapa konsesi
- Pelan damai AS yang mencetuskan kebimbangan mendedahkan pendekatan 'lebih tegas' terhadap Ukraine untuk menandatangani perjanjian yang berpihak kepada Rusia
- Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy, mendakwa tekanan dari Washington telah memihak kepada Rusia, sementara jaminan keselamatan Ukraine sedang dibincangkan bersama Eropah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

