Talian kecemasan tidak boleh diganti dengan aplikasi mudah alih - FOMCA

SHAH ALAM - Kerajaan digesa supaya memberi penjelasan secara terbuka mengenai perkhidmatan 999 melalui panggilan suara masih kekal beroperasi sebagai saluran utama bantuan kerana terdapat kekeliruan kepada pengguna susulan pengenalan platform baharu Next Generation Emergency Services (NG999).
Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Dr Saravanan Thambirajah berkata, penjelasan itu penting supaya masyarakat mendapat maklumat yang jelas bahawa aplikasi mudah alih itu hanya bersifat pilihan tambahan.
"FOMCA berasa bimbang dengan maklum balas yang diterima daripada pengguna mengenai cara panggilan kecemasan dikendalikan. Kami dimaklumkan bahawa apabila sesetengah rakyat Malaysia menghubungi talian kecemasan 999, mereka diminta oleh petugas perkhidmatan kecemasan untuk memuat turun aplikasi mudah alih terlebih dahulu sebelum bantuan diberikan.
"Amalan ini sama sekali tidak boleh diterima dan mesti dihentikan serta-merta. Perkhidmatan kecemasan wujud untuk menyelamatkan nyawa, bukan untuk mengarahkan pemanggil memuat turun aplikasi yang mungkin tidak dapat diakses oleh ramai orang.
"Tiada rakyat Malaysia patut diminta memuat turun aplikasi pada saat mereka memerlukan bantuan segera. Tidak semua orang mempunyai telefon pintar. Tidak semua kawasan mempunyai liputan internet stabil," katanya dalam satu kenyataan.
Infrastruktur komunikasi kecemasan negara memasuki fasa baharu pada 16 November lalu menerusi pengoperasian NG999, sistem digital baharu hasil kerjasama Telekom Malaysia Berhad (TM) dan Kementerian Komunikasi.
Menurut TM, sistem itu dibangunkan sebagai platform bersepadu sepenuhnya menggantikan sistem legasi MERS 999 yang turut dibangunkan dan dioperasikan pihaknya sebelum ini.
Mengulas lanjut, Saravanan berkata, talian kecemasan tidak boleh diganti sepenuhnya dengan aplikasi mudah alih memandangkan Malaysia masih berdepan dengan jurang digital yang ketara.
Sehubungan itu, beliau berkata, penjelasan terbuka perlu dibuat serta-merta untuk mengelakkan lebih banyak kekeliruan pada masa akan datang.
"Kerajaan telah menyatakan bahawa perkhidmatan kecemasan berasaskan aplikasi seperti SaveME 999 adalah untuk melengkapkan talian hotline sedia ada. Namun, maklum balas pengguna yang kami terima bercanggah dengan kenyataan itu.
"Sesetengah rakyat Malaysia diberitahu supaya bergantung kepada aplikasi tersebut, sekali gus menimbulkan kekeliruan dan kebimbangan bahawa talian 999 mungkin akan diganti. Kekeliruan ini menunjukkan kegagalan komunikasi dan pelaksanaan," katanya.
Ringkasan AI
- Kerajaan diminta jelaskan status perkhidmatan 999 dengan pengenalan NG999
- FOMCA bimbang pengguna diminta muat turun aplikasi sebelum dapat bantuan
- Talian kecemasan 999 harus kekal sebagai saluran utama tanpa bergantung pada aplikasi
- Jurang digital di Malaysia jadi alasan talian kecemasan tidak boleh sepenuhnya digital
- Kekeliruan timbul kerana pengguna dimaklumkan bergantung pada aplikasi, menimbulkan anggapan talian 999 mungkin diganti
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

