Kegagalan NG999: MCA gesa kerajaan tumpu lima langkah penambahbaikan

Masalah yang berlaku pada hari pertama talian kecemasan itu beroperasi disifatkan bukan sekadar kelemahan teknikal, tetapi kegagalan tadbir urus yang boleh mengancam nyawa.Gambar kecil: Hang Soon
Masalah yang berlaku pada hari pertama talian kecemasan itu beroperasi disifatkan bukan sekadar kelemahan teknikal, tetapi kegagalan tadbir urus yang boleh mengancam nyawa.Gambar kecil: Hang Soon
A
A
A

SHAH ALAM – Kerajaan digesa memberi tumpuan segera terhadap lima langkah pembetulan kritikal bagi memastikan keberkesanan sistem panggilan kecemasan Next Generation Emergency Services (NG999) dan keselamatan awam tidak terjejas.

Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, masalah yang berlaku pada hari pertama talian kecemasan itu beroperasi bukan sekadar kelemahan teknikal, tetapi kegagalan tadbir urus yang boleh mengancam nyawa.

“Kerajaan perlu kenal pasti titik sekatan dan punca kegagalan dalam kapasiti sistem, kelewahan dan penghalaan panggilan.

“Segera lakukan ujian tekanan di seluruh negara bagi mengenal pasti titik kegagalan sebenar memandangkan aduan seperti ‘talian tidak boleh ditembusi’ menunjukkan isu itu bersifat menyeluruh,” katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Sebelum ini, Ahli Dewan Negara, Dr A Lingeshwaran mendedahkan pihaknya menerima pelbagai maklum balas daripada orang awam yang mengesahkan bahawa sistem itu tidak berfungsi dengan baik.

Menurutnya, operasi perkhidmatan ambulans turut menerima kesan hingga membebankan perkhidmatan kecemasan di seluruh negara.

Dalam pada itu, Hang Soon turut menggesa satu prosedur operasi standard (SOP) kerosakan sistem kecemasan diwujudkan bagi mengaktifkan talian sandaran atau pengurusan manual secara automatik sekiranya berlaku gangguan, supaya pemanggil tidak berdepan talian sepi ketika memerlukan bantuan.

Di samping itu, ujarnya, penyelarasan antara polis, bomba dan hospital juga perlu diperkukuh melalui penubuhan pusat arahan bersama bagi memastikan gangguan pada mana-mana agensi tidak menyebabkan kelewatan berangkai.

“Terbitkan data prestasi NG999 secara telus termasuk kadar sambungan dan masa menunggu bagi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap sistem tersebut.

Artikel Berkaitan:

“Kerajaan mesti segera menambah tenaga kerja, memperluas latihan dan meningkatkan penjadualan kakitangan pada waktu puncak supaya apabila orang ramai mendail 999, bantuan dapat disalurkan segera, bukan disambut talian sepi,” tegasnya.

 

 

Ringkasan AI

  • Kerajaan digesa ambil tindakan pembetulan kritikal untuk memastikan sistem panggilan kecemasan NG999 berkesan
  • Masalah pada hari pertama operasi NG999 adalah lebih daripada kelemahan teknikal, ianya kegagalan tadbir urus
  • Penting untuk melakukan ujian tekanan di seluruh negara untuk mengenal pasti kegagalan sistem
  • Kerajaan disaran untuk menyediakan SOP yang membolehkan pengaktifan talian sandaran atau pengurusan manual secara automatik
  • Perlu ada penyelarasan antara polis, bomba, dan hospital serta peningkatan tenaga kerja dan latihan bagi meningkatkan keberkesanan sistem

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!