Masalah teknikal NG999 membimbangkan, bebankan perkhidmatan kecemasan

Insiden dua ambulans dihantar ke kes yang sama menunjukkan kegagalan koordinasi sistem NG999. Gambar kecil: Lingeshwaran
Insiden dua ambulans dihantar ke kes yang sama menunjukkan kegagalan koordinasi sistem NG999. Gambar kecil: Lingeshwaran
A
A
A

SHAH ALAM - Masalah teknikal yang membelenggu sistem panggilan kecemasan Next Generation Emergency Services (NG999) yang baru beroperasi Sabtu lalu, dibimbangi menimbulkan risiko terhadap keselamatan dan nyawa rakyat sekiranya tidak ditangani segera.

Menurut Ahli Dewan Negara, Dr A Lingeshwaran, pihaknya menerima pelbagai maklum balas daripada orang awam yang mengesahkan bahawa sistem itu tidak berfungsi dengan baik.

Tambahnya, operasi perkhidmatan ambulans menerima kesan hingga membebankan perkhidmatan kecemasan di seluruh negara.

"Saya telah dihubungi oleh beberapa perkhidmatan ambulans milik pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memaklumkan bahawa mereka kini menerima panggilan kecemasan secara langsung tanpa henti.

"Ini jelas menandakan kegagalan NG999 untuk menguruskan dan mengkoordinasikan panggilan kecemasan menyebabkan NGO ini terpaksa mengambil alih bebanan sistem nasional.

"Selain itu, terdapat insiden yang mana dua ambulans kerajaan dihantar ke kes yang sama sekali gus menunjukkan kelemahan koordinasi yang serius, pembaziran sumber tenaga serta menyebabkan kelewatan untuk respon kes kecemasan lain," katanya dalam kenyataan di Facebook pada Selasa.

Lingeshwaran berkata, kerajaan perlu bertindak segera melaksanakan pembetulan bagi memulihkan kembali fungsi NG999 demi melindungi keselamatan dan kesejahteraan rakyat.

"Berikan penjelasan terperinci kepada rakyat mengenai punca kegagalan ini dan langkah-langkah yang diambil untuk memastikan ia tidak berulang selain melakukan audit menyeluruh ke atas infrastruktur dan operasi NG999 bagi mengenal pasti kelemahannya.

"Orang ramai yang menggunakan Sistem NG999 sejak Sabtu lalu untuk berkongsi pengalaman kerana maklum balas rakyat adalah penting untuk kami mendesak penambahbaikan yang lebih bertanggungjawab," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Masalah teknikal sistem panggilan kecemasan Next Generation Emergency Services (NG999) membahayakan keselamatan rakyat
  • Pengguna melaporkan sistem itu tidak berfungsi dengan baik sejak beroperasi Sabtu lalu
  • Operasi ambulans terganggu, membebankan perkhidmatan kecemasan di seluruh negara
  • Kegagalan NG999 mengakibatkan NGO ambulans terpaksa mengambil alih bebanan panggilan kecemasan
  • Kerajaan diminta segera memulihkan fungsi NG999 dan melakukan audit menyeluruh untuk pengembangan sistem

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!