Penduduk tidak setuju, kos tinggi jejas pelaksanaan URA di Selangor - Amirudin

SHAH ALAM – Usaha membangunkan semula kediaman lama berusia lebih 30 tahun di bawah inisiatif Pembaharuan Semula Bandar (URA) berdepan cabaran besar, khususnya melibatkan persetujuan penduduk dan peningkatan kos yang tinggi.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) telah mengenal pasti tiga kawasan perumahan lama untuk dibangunkan semula sejak 2015, namun semua cadangan itu gagal diteruskan.
Menurutnya, tiga lokasi tersebut ialah Pangsapuri PKNS di AU3, Pangsapuri PKNS Seksyen 17, Petaling Jaya dan Pangsapuri PKNS Seksyen 16, Shah Alam.
“Bagaimanapun, cadangan tersebut tidak dapat diteruskan kerana penduduk gagal mencapai persetujuan lebih 80 peratus seperti yang ditetapkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT),” katanya semasa sesi pertanyaan lisan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada Isnin.
Amirudin menjelaskan, selain isu persetujuan, beberapa faktor lain turut menghalang projek URA, termasuk tuntutan pampasan tinggi serta kesukaran mencari tapak pemindahan sementara yang sesuai.
“Kita juga perlu menyediakan lokasi pemindahan sementara sebelum rumah asal diruntuhkan, selain tidak boleh arahkan penduduk keluar, robohkan bangunan dan hanya masukkan mereka semula dua atau tiga tahun kemudian.
“Kalau di AU3, kita nampak tapaknya, tetapi kepadatannya sangat tinggi kerana banyak blok perlu dibina.
“Di Seksyen 16 pula, bloknya terlalu banyak, jadi kita perlu cari tapak baharu terlebih dahulu sebelum memindahkan penduduk,” katanya.
Amirudin turut menjelaskan, mana-mana pemaju yang ingin terlibat perlu mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh kerana proses pembinaan semula melibatkan belanja besar.
“Pemaju perlu sanggup berbelanja RM100 hingga RM150 juta hanya untuk membina blok perpindahan sementara kerana bukan semua pemaju bersedia menanggung kos sebesar itu,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan negeri sedang meneruskan penelitian menyeluruh terhadap model URA bagi memastikan projek pembaharuan dapat dijayakan tanpa membebankan penduduk atau pihak pemaju.
“Jika URA tidak dilaksanakan, kediaman-kediaman lama ini akan terus usang, ditinggalkan dan tidak selamat diduduki. Ini merupakan cabaran besar kepada kita,” jelasnya.
Ringkasan AI
- Usaha membangunkan semula kediaman lama di bawah inisiatif URA berdepan cabaran seperti persetujuan penduduk dan peningkatan kos
- Tiga kawasan perumahan lama yang iatuh usulan URA gagal teruskan akibat kegagalan mencapai persetujuan penduduk lebih 80 peratus
- Isu lain menyebabkan projek URA terhalang termasuk tuntutan pampasan tinggi dan kesukaran mencari tapak pemindahan sementara
- Pemaju yang ingin terlibat dalam URA perlu mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh kerana proses ini menelan belanja besar
- Kerajaan negeri sedang meneliti model URA untuk memastikan projek pembaharuan dapat dijayakan tanpa membebankan penduduk atau pemaju
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

