Tak lepas ke Hatyai, 40 ahli KRT bercuti di Danok

Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Bukit Kayu Hitam,Senior Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir semasa memeriksa rombongan KRT Bukit Sentosa 3, Taman Kemboja 4B, Bukit Beruntung yang tiba di pintu sempadan negara pada Ahad.
Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Bukit Kayu Hitam,Senior Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir semasa memeriksa rombongan KRT Bukit Sentosa 3, Taman Kemboja 4B, Bukit Beruntung yang tiba di pintu sempadan negara pada Ahad.
A
A
A

BUKIT KAYU HITAM - Hasrat sekumpulan ahli Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Bukit Sentosa 3, Taman Kemboja 4B, Bukit Beruntung untuk bercuti ke Hatyai, Thailand tidak kesampaian apabila mereka terpaksa berpatah balik ekoran banjir besar yang melanda bandar pelancongan itu sejak Jumaat.

Rombongan seramai 40 peserta yang menaiki sebuah bas dari Selangor pada pagi Sabtu itu terpaksa membatalkan perjalanan ke Hatyai selepas dimaklumkan laluan ke bandar tersebut ditutup oleh pihak berkuasa tempatan kerana paras air yang meningkat.

Ahli Jawatankuasa KRT berkenaan, Zaidi Din berkata, mereka telah memasuki sempadan Thailand dan berada kira-kira 20 kilometer dari Hatyai sebelum diarahkan berpatah balik oleh pihak bomba Thailand.

“Kami dah sampai separuh jalan, tapi bomba sekat laluan dan tak benarkan kami teruskan perjalanan. Jadi kami buat keputusan untuk menginap di Danok sahaja,” katanya semasa ditemui di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam pada Ahad.

Menurut Zaidi, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira keselamatan peserta rombongan dan keadaan semasa di Hatyai yang dilaporkan semakin teruk.

“Saya dapat maklumat daripada rakan di sana, hotel yang kami tempah pun dah dinaiki air sampai paras pinggang.

"Kedai makan pun banyak tutup, jadi lebih baik kami ‘tersangkut’ di Danok daripada terperangkap di Hatyai,” ujarnya.

Tambahnya, walaupun percutian itu telah dirancang sejak empat bulan lalu, mereka tidak kecewa kerana memahami situasi luar jangka yang berlaku.

“Kami bersyukur sebab hotel yang kami tempah belum dibayar, jadi tiada kerugian besar. Semua peserta pun setuju untuk tinggal di Danok dan alhamdulillah semuanya selamat,” katanya lagi.

Artikel Berkaitan:

Zaidi turut memaklumkan bahawa mereka merancang untuk menyambung semula percutian ke Hatyai pada pertengahan tahun depan sekiranya keadaan kembali pulih.

Ringkasan AI

  • Rombongan dari Selangor batal percutian ke Hatyai akibat banjir
  • Diarahkan patah balik oleh pihak bomba Thailand 20 kilometer dari Hatyai
  • Menginap di Danok setelah laluan ke Hatyai ditutup
  • Keputusan dibuat demi keselamatan peserta dan keadaan di Hatyai yang buruk
  • Rancang percutian semula ke Hatyai pertengahan tahun depan jika keadaan pulih

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!