Jenazah ADUN Mata Ayer selamat dikebumikan

Jenazah Wan Badariah (gambar kecil) yang meninggal dunia di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar petang Sabtu, selamat dikebumikan pada Ahad.
Jenazah Wan Badariah (gambar kecil) yang meninggal dunia di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar petang Sabtu, selamat dikebumikan pada Ahad.
A
A
A

ARAU - Jenazah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mata Ayer, Wan Badariah Wan Saad, 50, yang meninggal dunia di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar petang Sabtu, selamat dikebumikan pada Ahad.

Allahyarham Wan Badariah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rambai di sini pada jam 11.50 pagi.

Terdahulu, jenazah ADUN itu disolatkan di Masjid Nur Al-Saadah, Kampung Banggol Sena di sini yang diimamkan Imam I masjid itu Amirul Hadafi Raseli sekitar jam 11 pagi dengan disertai anggaran kira-kira 500 orang terdiri daripada ahli keluarga, penduduk setempat dan wakil rakyat Pas serta Bersatu.

Antara wakil rakyat Pas yang turut serta menunaikan solat jenazah ialah bekas Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli yang juga ADUN Sanglang, ADUN Santan, Muhammad Azmir Azizan serta ADUN Kayang, Asrul Aimran Abd Jalil manakala wakil rakyat Bersatu pula ialah Ketua Badan Pimpinan Bersatu Perlis, Izizam Ibrahim yang merupakan ADUN Titi Tinggi.

Pada Sabtu media melaporkan Wan Badariah meninggal dunia di HTF pada jam 4.26 petang.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Wan Badariah yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) memperoleh 4,419 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Siti Berenee Yahaya (2,398 undi) dan Amran Kamarudin daripada Pakatan Harapan (PH) (794 undi) dengan majoriti 2,021 undi.

Wan Badariah pernah menjadi Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Perlis di bawah pentadbiran Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli. - Bernama

 

 

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!