Wang Kelian dilanda banjir, 120 mangsa dipindahkan ke PPS

Penduduk diminta sentiasa bersedia dan mematuhi arahan pihak berkuasa supaya bantuan dapat dilaksanakan dengan lebih mudah dan berkesan. Foto: MAIPs
Penduduk diminta sentiasa bersedia dan mematuhi arahan pihak berkuasa supaya bantuan dapat dilaksanakan dengan lebih mudah dan berkesan. Foto: MAIPs
A
A
A

PADANG BESAR – Hujan lebat pada Sabtu malam menyaksikan Kampung Wang Kelian di sini dilanda banjir dan seramai 120 penduduk terpaksa dipindahkan.

Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata, semua mangsa dipindahkan ke Masjid Nurul Husna yang dijadikan sebagai pusat pemindahan sementara (PPS).

Menurutnya, maklumat Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menyatakan hujan lebat melanda sekitar 106 milimeter dan beberapa sungai di negeri ini juga dalam paras bahaya.

"Kita percaya taburan hujan luar biasa ini yang menyebabkan air dari bukit Wang Kelian mengalir masuk ke kawasan kampung dan menyebabkan banjir.

"Penduduk perlu sentiasa bersedia dan mematuhi arahan pihak berkuasa supaya bantuan dapat dilaksanakan dengan lebih mudah dan berkesan,” katanya pada sidang akhbar selepas meninjau situasi banjir di Kampung Wang Kelian di sini.

Shukri bercakap kepada pemberita pada sidang akhbar selepas meninjau situasi banjir di Kampung Wang Kelian pada Ahad. Foto: MAIPs
Shukri bercakap kepada pemberita pada sidang akhbar selepas meninjau situasi banjir di Kampung Wang Kelian pada Ahad. Foto: MAIPs

Jelas Mohd Shukri, proses pemindahan dan bantuan turut diselaraskan bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Pihak berkuasa menjangkakan paras air akan naik lagi dalam masa terdekat namun berharap ia tidak melimpah,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, kerajaan negeri turut menyediakan beberapa PPS tambahan termasuk Sekolah Kebangsaan (SK) Lubuk Sireh dan SK Titi Tinggi.

Dalam pada itu, beliau turut menghargai bantuan awal Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang membantu mangsa banjir yang dipindahkan dengan menyediakan bantuan seperti pakaian dan makanan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd Shokri Abdullah berkata, beberapa laluan utama termasuk Jalan Wang Kelian yang terjejas akibat runtuhan tanah ditutup.

Menurutnya, runtuhan tanah yang berlaku di laluan berkenaan menimbulkan risiko keselamatan kepada pengguna jalan raya dan menyebabkan laluan itu ditutup sepenuhnya sehingga kerja-kerja pembersihan dan penilaian keselamatan selesai dijalankan.

“Penutupan ini adalah langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

"Kami sedang bekerjasama dengan agensi berkaitan untuk memastikan kawasan tersebut selamat sebelum dibuka semula kepada orang awam,” katanya.

Selain Jalan Wang Kelian, beberapa laluan lain turut ditutup kepada semua kenderaan ringan berikutan paras air yang meningkat secara mendadak.

Antara laluan yang terjejas ialah Jalan Kaki Bukit Batu 16, Simpang Tiga Kok Mak, Jalan Kampung Chantek Kaki Bukit, Jalan Titi Tinggi, Jalan Gua Kelam dan Jalan Kangar–Padang Besar berhampiran Agrovets Perlis.

Ringkasan AI

  • Hujan lebat di Kampung Wang Kelian menyebabkan banjir dan pemindahan 120 penduduk ke PPS Masjid Nurul Husna
  • Menteri Besar Perlis menyatakan sebab banjir adalah taburan hujan luar biasa sebanyak 106 milimeter dan beberapa sungai di negeri itu dalam paras bahaya
  • Pemindahan dan bantuan diselaraskan bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat dan NGO
  • Kerajaan negeri menyediakan PPS tambahan termasuk SK Lubuk Sireh dan SK Titi Tinggi
  • Beberapa laluan utama termasuk Jalan Wang Kelian ditutup akibat runtuhan tanah dan kerja-kerja pembersihan sedang dijalankan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!