Bandar bukan sekadar kenderaan bergerak

ALOR SETAR - Setiap hari, jalan raya di pusat bandar menjadi laluan utama kenderaan yang membawa orang ramai ke tempat kerja, sekolah, kedai dan pelbagai destinasi lain.
Namun, pada Sabtu minggu pertama setiap bulan, suasananya berubah apabila sebahagian jalan di Bandar Raya Alor Setar ditutup sementara kepada kenderaan untuk memberi ruang kepada aktiviti masyarakat menerusi program Alor Setar Car Free Saturday (ASCFS).
Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Abdul Gafar Yahya berkata, program anjuran Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) itu membawa satu mesej mudah tetapi bermakna iaitu bandar bukan sekadar dibina untuk kenderaan bergerak, sebaliknya perlu menyediakan ruang untuk manusia menjalani kehidupan dengan lebih sihat, aktif dan selesa.
Menurutnya, sejak Mei hingga Oktober 2026, program berkenaan yang membawa tema yang berbeza setiap bulan berjaya menarik kehadiran peserta dalam setiap penganjuran dengan anggaran keseluruhan mencecah lebih 30,000 orang sepanjang tempoh enam bulan itu.

“Berdasarkan laporan ASCFS, program pertama pada 2 Mei dengan tema EcoBriskwalk mencatatkan kira-kira 5,000 kehadiran, diikuti lebih 3,000 pada 6 Jun dengan tema Green HeritageDay dan 6,500 pula pada 11 Julai dengan tema MobilitiHijau Bandaraya Warisan Lestari dan hari Keputeraan Tuanku Sultan Kedah.
“Pada 1 Ogos pula, kira-kira 4,500 kehadiran direkodkan dengan tema Gerak Aktif, Hidup Positif, manakala program pada 5 September dengan tema Kesihatan dan Keselamatan menarik lebih 4,500 kehadiran dan 3 Oktober sekitar 6,000 dengan tema Sihat Bersama Warga Komuniti Bandaraya Alor Setar,” katanya kepada Sinar Harian.
Jelas Abdul Gafar, angka itu bukan sekadar statistik kehadiran, sebaliknya memberi gambaran bahawa ruang awam yang dimanfaatkan dengan aktiviti bersesuaian mampu menjadi tempat pertemuan masyarakat daripada pelbagai peringkat umur dan latar belakang.
Menurutnya, dari awal pagi, orang ramai berpeluang menyertai pelbagai aktiviti termasuk larian lima kilometer, berjalan pantas, berbasikal dan senamrobik.
“Penutupan jalan sementara dari jam 7 pagi hingga 9.30 pagi membolehkan aktiviti berkenaan dijalankan dalam persekitaran yang lebih sesuai.
“Bagi sesetengah peserta, ia mungkin sekadar peluang mengeluarkan peluh sebelum memulakan urusan harian. Bagi keluarga pula, program seperti ini membuka ruang untuk meluangkan masa bersama anak-anak dalam suasana yang berbeza daripada rutin hujung minggu di rumah atau pusat beli-belah,” ujarnya.

Lebih menarik, ASCFS bukan hanya memberi tumpuan kepada aktiviti kecergasan kerana pelbagai pengisian komuniti turut diketengahkan, termasuk pemeriksaan kesihatan, persembahan kebudayaan, seni dan kraf, aktiviti kanak-kanak, pameran teknologi hijau serta persembahan pemuzik jalanan.
Penglibatan pelbagai agensi dan organisasi, antaranya Jabatan Kesihatan Negeri Kedah, Hospital Sultanah Bahiyah, HASiL Kedah, Universiti Utara Malaysia (UUM), Kolej Poly-Tech Mara, Persatuan Kanser Malaysia dan Bulan Sabit Merah Malaysia turut memperluas manfaat program kepada masyarakat.
Jelas Abdul Gafar, kepelbagaian aktiviti itu menjadikan pusat bandar bukan sekadar tempat untuk dilalui, tetapi ruang untuk orang ramai berkumpul, mendapatkan maklumat, menjalani pemeriksaan kesihatan dan menikmati aktiviti bersama komuniti.
Katanya, dalam kehidupan bandar yang semakin sibuk, ruang untuk melakukan aktiviti fizikal dan berinteraksi dengan masyarakat kadangkala terhad oleh tuntutan kerja serta urusan harian.
Justeru, program seperti ASCFS memberi peluang kepada orang ramai untuk menikmati bandar dengan cara yang lebih santai.
“Pada masa sama, inisiatif itu seiring dengan usaha MBAS untuk menghidupkan ruang awam serta membentuk pusat bandar yang lebih sihat, aktif, inklusif dan selesa didiami.
“Usaha ke arah bandar mampan juga menjadi sebahagian daripada agenda pembangunan Alor Setar dan pada 9 September lalu, bandar raya ini menerima IMT-GT Green City Award bagi kategori Perak – Karbon dan Iklim dalam mesyuarat peringkat menteri di Medan, Indonesia.
“Pengiktirafan itu mencerminkan usaha berkaitan kelestarian bandar dan kerjasama serantau. Walaupun ia tidak boleh dikaitkan dengan ASCFS semata-mata, program tersebut memperlihatkan bagaimana aktiviti di peringkat komuniti boleh menjadi sebahagian daripada usaha lebih luas untuk membentuk persekitaran bandar yang lebih baik,” katanya lagi.

Tambah beliau, bandar yang baik bukan hanya diukur melalui lebar jalan, jumlah kenderaan atau kepesatan pembangunan tetapi Ia juga perlu dinilai berdasarkan sejauh mana ruangnya dapat dinikmati oleh penduduk, termasuk kanak-kanak, golongan muda, warga emas dan keluarga.
Menurutnya, penutupan jalan selama beberapa jam mungkin kelihatan seperti perubahan kecil dalam rutin bandar, namun apabila ruang yang biasanya dikuasai kenderaan diberikan kepada pejalan kaki, penunggang basikal dan aktiviti masyarakat, perspektif terhadap fungsi jalan raya itu sendiri turut berubah.
“Inilah nilai yang cuba dibawa ASCFS. Jalan yang selama ini menjadi laluan untuk sampai ke sesuatu destinasi boleh juga menjadi tempat untuk beriadah, berkenalan, belajar dan mengeratkan hubungan sesama warga kota.
“Akhirnya, bandar bukan sekadar tempat untuk dituju atau ditinggalkan. Bandar ialah ruang kehidupan yang sepatutnya memberi manfaat kepada semua,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

