Semak ramalan cuaca sebelum bercuti

Keadaan jalan raya yang dinaiki air di Hatyai selepas hujan lebat sejak Jumaat.
Keadaan jalan raya yang dinaiki air di Hatyai selepas hujan lebat sejak Jumaat.
A
A
A

BANJIR yang melanda Hatyai dan beberapa daerah di wilayah Songkhla, Thailand pada Sabtu hingga menyebabkan pelancong Malaysia terkandas memberi peringatan bahawa faktor cuaca perlu menjadi keutamaan dalam merancang percutian terutama pada musim tengkujuh.

Malaysia dan Thailand kini berada dalam fasa Monsun Timur Laut yang membawa hujan lebat tidak menentu.

Malah kejadian banjir kilat di kawasan popular pelancong seperti Hatyai, Phuket dan Krabi menunjukkan destinasi percutian bukan lagi zon ‘selamat’ daripada bencana.

Banyak lokasi tumpuan pelancong, termasuk laluan darat dan kawasan beli-belah, terdedah kepada limpahan sungai serta sistem perparitan yang tidak mampu menampung hujan ekstrem.

Setakat tengah hari Sabtu, kira-kira 4,000 rakyat Malaysia yang berada di Hatyai dan kawasan berdekatan terjejas dengan bencana berkenaan.

Bagaimanapun, kesemua mangsa dilapor berada dalam keadaan selamat kerana kebanyakannya menginap di hotel bertingkat.

Keadaan banjir itu juga menyebabkan beberapa mangsa menggunakan media sosial masing-masing untuk meminta bantuan kerana ada antara keluarga hampir kehabisan susu bayi, lampin pakai buang dan bekalan makanan.

Salah seorang mangsa, Wan Nur Asyikin Wan Azmi, 33, berkata, pada mulanya tiba di Hatyai pada petang Jumaat dalam keadaan cuaca baik sebelum air mula naik seawal jam 3 pagi Sabtu setelah hujan berterusan dan dalam masa pantas, seluruh bandar di Hatyai dinaiki air.

"Lebih membimbangkan tiada premis terutama menjual makanan dibuka. Apa yang merisaukan adalah keperluan makanan, susu dan lampin pakai buang untuk keperluan anak, Nadhif Alfian Khairul Anwar, 9 bulan akan kehabisan sekiranya banjir tidak surut dan tiada sebarang bantuan disalurkan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, seorang lagi mangsa, Lily Suraini yang sebelum itu merayu pertolongan selepas terkandas bersama keluarga sudah menerima bantuan susu formula, lampin pakai buang dan makanan yang diperlukan.

Lily Suraini dalam satu hantaran di Facebooknya berkata, bantuan diperoleh setelah ramai individu tampil menghulurkan sumbangan sejurus perkongsiannya tular di media sosial.

Di sebalik ramai yang tampil membantu, apa yang tidak sedap didengar ialah apabila dia dikecam turut dikecam kerana dikatakan menyusahkan orang lain.

Dalam keadaan mangsa yang berhadapan dengan situasi getir berkenaan, sepatutnya orang ramai perlu bersifat lebih empati dengan tidak mengeluarkan apa-apa kecaman kerana ia juga boleh menambahkan lagi kesedihan mangsa.

Bencana banjir yang berlaku seharusnya menjadi iktibar dari segenap segi. Bukan sahaja dari aspek keprihatinan terhadap mangsa yang terkandas, malahan mengenai kepentingan untuk merancang perjalanan yang mengambil kira semakan ramalan cuaca.

Ramalan cuaca sekurang-kurangnya beberapa hari lebih awal perlu disemak sebelum pergi melancong, selain amaran terkini sepanjang percutian juga wajib dipantau.

Pelancong juga disaran membeli insurans perjalanan yang melindungi diri daripada ancaman bencana alam serta menyimpan nombor kecemasan konsulat Malaysia di negara terbabit.

Ketika gelombang pelancongan hujung tahun semakin rancak, percutian seharusnya menjadi pengalaman yang menggembirakan, namun dalam keadaan cuaca ekstrem ketika ini, keselamatan perlu mengatasi agenda membeli-belah, hiburan dan rekreasi.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!