Kerajaan pergiat usaha selamatkan rakyat Malaysia terkandas banjir di Hatyai

BAGAN DATUK – Kerajaan sedang mempergiat usaha memastikan kira-kira 4,000 rakyat Malaysia yang terkandas akibat banjir di Hatyai, Thailand dan kawasan sekitarnya dapat pulang ke tanah air secepat mungkin.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla kini melakukan koordinasi penuh bagi mengenal pasti rakyat Malaysia yang belum dapat keluar dari kawasan banjir termasuk sekitar 40 pelajar dan guru.
Menurutnya, situasi banjir di kawasan berkenaan dijangka surut tengah hari ini, sekali gus memudahkan urusan membawa pulang mereka yang masih terperangkap.
"Koordinasi turut dibuat bersama Kementerian Luar Negeri, kerajaan Thailand dan gabenor wilayah berkenaan.
"Jika keadaan mendesak, kerajaan mungkin menyediakan kenderaan berat untuk mengangkut mangsa agar mereka dapat pulang segera," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Program Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS): MOH Kita Sihat yang turut dihadiri Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad di sini pada Ahad.
Mengulas kemungkinan rakyat Malaysia masih terkandas jika situasi memburuk, Ahmad Zahid menegaskan kerajaan sentiasa mendapatkan maklumat terkini daripada pihak konsulat serta bersedia mengambil langkah tambahan sekiranya diperlukan.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata kesiapsiagaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) telah dipertingkatkan selepas Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengesahkan musim itu bermula pada 13 November.
Menurutnya, enam negeri kini terkesan iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, Perlis, Kedah dan Pulau Pinang, selain sebahagian kawasan utara Perak.
"Kita telah adakan koordinasi dengan MetMalaysia, JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran), Jabatan Bomba dan Penyelamat serta agensi lain supaya amaran berpindah dapat dikeluarkan sekurang-kurangnya tiga hari lebih awal.
"Kita tidak mahu sebarang nyawa, harta dan dokumen penting tertinggal di kawasan dilanda banjir," katanya.
Ahmad Zahid turut memaklumkan MTL kali ini dijangka berlarutan sehingga pertengahan Mac, melibatkan Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
Pada Sabtu, media melaporkan hujan berterusan sejak Jumaat mengakibatkan beberapa kawasan di Hatyai, Thailand dilanda banjir kilat sekali gus menyebabkan ratusan rakyat Malaysia terkandas di daerah itu termasuk di sempadan seperti Danok dan Bukit Kayu Hitam.
Ringkasan AI
- Kerajaan mempercepat usaha membawa pulang 4,000 rakyat Malaysia yang terkandas akibat banjir di Hatyai, Thailand
- Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla berkoordinasi untuk mengenal pasti dan membantu warga Malaysia termasuk kira-kira 40 pelajar dan guru
- Situasi banjir di Hatyai dijangka surut untuk memudahkan proses tersebut
- Kerjasama dibuat dengan Kementerian Luar Negeri, kerajaan Thailand dan gabenor wilayah untuk koordinasi bantuan
- Kerajaan bersedia menyediakan kenderaan berat sekiranya diperlukan dan mengambil langkah tambahan jika situasi banjir memburuk
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

