Tiada bukti saintifik daun semambu boleh rawat Covid-19: Pakar

Daun semambu - Foto internet
Daun semambu - Foto internet
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tiada bukti perubatan dan kajian saintifik menunjukkan bahawa penggunaan sejenis herba dikenali sebagai daun semambu atau neem dapat merawat koronavirus (Covid-19) seperti yang tersebar dalam media sosial, menurut pakar.

Pakar imunologi dan virologi, Profesor Dr Shamala Devi Sakaran berkata, apa-apa rawatan perubatan termasuk produk herba perlu melalui eksperimen yang betul dan memenuhi standard sebelum diluluskan untuk kegunaan awam.

“Sepertimana vaksin, ubat-ubatan juga harus disahkan dengan betul, ia perlu mempunyai bukti saintifik menunjukkan ia boleh menyerang virus secara langsung,” katanya semasa sesi forum dalam talian secara langsung oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) di sini hari ini.

Sesi forum itu yang dikendalikan oleh Menteri berkenaan, Khairy Jamaluddin disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook rasmi MOSTI. Ia turut disertai ahli epidemiologi Prof Datuk Dr Awang Bulgiba Awang Mahmud dan saintis data Profesor Mahendhiran Sanggaran Nair.

Shamala Devi yang juga felo Akademi Sains Malaysia menekankan bahawa Covid-19 adalah virus baharu yang memerlukan banyak penyelidikan mendalam dan proses pembangunan vaksin juga dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya setahun.

Turut menyokong pendapat itu, Awang Bulgiba yang berkongsi bahawa keberkesanan daun mambu untuk merawat beberapa penyakit lain sebelum ini juga tidak dapat dibuktikan secara saintifik.

"Daun mambu ini memang telah diuji untuk penyakit lain tetapi didapati tidak berkesan, jadi ia mungkin berkesan hanya untuk satu atau dua kes yang mungkin tidak ada kena-mengena dengan daun mambu tetapi sebaliknya oleh faktor lain," katanya.

Sebelum ini, tular di media sosial mengenai seorang lelaki berkongsi pengalaman menggunakan air rebusan daun neem atau mambu selepas anaknya demam dan sakit tekak sebaik pulang daripada berkursus yang turut dihadiri peserta positif Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Lelaki itu mendakwa anaknya pulih setelah beberapa hari meminum air rebusan herba itu. - Bernama