Lelaki hanyut di Pintasan Saloma: Kenderaan pacuan empat roda dinaiki mangsa ditemui

Kenderaan pacuan empat roda yang hanyut bersama seorang lelaki dalam insiden kepala air di Sungai Klang berhampiran Jambatan Saloma ditemui kira-kira 1.5 km dari lokasi kejadian pada Rabu.
Kenderaan pacuan empat roda yang hanyut bersama seorang lelaki dalam insiden kepala air di Sungai Klang berhampiran Jambatan Saloma ditemui kira-kira 1.5 km dari lokasi kejadian pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kenderaan pacuan empat roda jenis  Mitsubishi Pajero yang hanyut bersama seorang lelaki dalam insiden kepala air di Sungai Klang berhampiran Jambatan Saloma ditemui kira-kira 1.5 kilometer (km) dari lokasi kejadian pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, kenderaan itu ditemui pada jam 8.30 pagi selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) disambung pagi ini.

"Kenderaan berkenaan ditemui tanpa mangsa selepas paras air sungai turun hampir satu meter. Cuaca hari ini agak baik dan operasi SAR akan diteruskan sehingga 7 malam.

"Penemuan kenderaan ini membantu kita memfokuskan semula laluan arus yang mungkin membawa mangsa," katanya ketika sidang akhbar di lokasi kejadian pada Rabu.

Sazalee berkata, kenderaan itu kemudian diserah kepada syarikat pemilik kenderaan itu.

"Semua aset dari Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) digembleng sepenuhnya termasuk 21 penyelam yang dibahagikan kepada empat zon pencarian.

"Dron, bot kecil dan kayak turut digunakan bagi menyusuri hampir 20 kilometer aliran Sungai Klang.

"Kita pecahkan kawasan kepada empat zon dan pencarian ini akan melepasi sempadan Selangor," katanya.

Beliau turut mengesahkan bahawa telefon mangsa yang dilaporkan masih berdering pada Selasa kini tidak lagi aktif, namun polis masih mendapatkan petunjuk untuk mengecilkan skop pencarian.

Artikel Berkaitan:

"Semalam arus deras namun hari ini air lebih tenang, jernih dan kurang berbahaya untuk penyelam.

"Empat sektor pencarian yang ditetapkan sejak semalam diteruskan, dengan laluan 20 kilometer akan diteliti secara menyeluruh," katanya.

Katanya, jika ada struktur sungai yang mencurigakan atau halangan, kawasan itu akan dijadikan hotspot untuk penyelam menyelam.

Terdahulu media melaporkan, seorang lelaki yang sedang melakukan kerja penambahbaikan Sungai Klang dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan kepala air berhampiran Pintasan Saloma, kira-kira 5.40 petang Isnin.

Sazalee dilaporkan berkata, ketika kejadian, terdapat 13 pekerja sedang bertugas di lokasi berkenaan yang mana 12 daripada mereka berjaya diselamatkan.

Mereka terdiri daripada tujuh warga Indonesia, Bangladesh (empat) dan seorang warga tempatan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!