'Saya sempat hubungi abang, dia beritahu cuaca hujan'

KUALA LUMPUR - "Saya sempat hubungi abang kira-kira jam 3 petang dan dia beritahu cuaca hujan di tempatnya bertugas (lokasi kejadian)."
Itu kata adik mangsa, K Suren, 32, yang memberitahu abangnya, K Suresh, 34, telah bertugas di lokasi kejadian kira-kira 70 hari sebagai penyelia tapak pembinaan sebelum dipercayai dihanyutkan kepala air di Sungai Klang berhampiran Jambatan Saloma di sini pada Isnin.
Menurut Suren, dia dikejutkan tragedi itu selepas dihubungi bapanya kira-kira jam 8.30 malam.
"Abang memang pandai berenang dan ada juga mengajar orang berenang, tapi dalam situasi air deras dan yang kuat, mungkin sukar untuk dia berbuat apa-apa," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian di sini pada Selasa.
Difahamkan, mangsa yang menetap di Rawang, Selangor sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak lelaki berusia enam tahun.
Tinjauan Sinar Harian difahamkan ahli keluarga mangsa turut berada di lokasi kejadian bagi mendapatkan perkembangan terkini operasi mencari dan menyelamatkan (SAR).
Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang, Isnin, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Kuala Lumpur telah menerima panggilan kecemasan melalui talian balai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Titiwangsa berhubung satu kejadian banjir yang melibatkan mangsa.
Susulan panggilan tersebut, satu jentera bersama anggota dari BBP Titiwangsa dan balai bantuan dari BBP Jalan Hang Tuah telah diarahkan ke lokasi kejadian.
Setibanya pasukan di lokasi, didapati 12 mangsa terperangkap di bawah jambatan.
Pasukan operasi telah menjalankan penyelamatan menggunakan tali di mana 11 mangsa terdiri daripada seorang warga Malaysia dan 10 warga asing berjaya diselamatkan, manakala seorang mangsa dilaporkan hilang.
Mangsa dipercayai dihanyutkan arus deras ketika cuba mengalihkan kenderaan yang diletakkan di bawah jambatan sejurus menyedari kehadiran kepala air.
Ringkasan AI
- Suren menghubungi abangnya, K Suresh, jam 3 petang sebelum kejadian tragedi dihanyutkan arus di Sungai Klang
- K Suresh, yang berpengalaman berenang, bertugas sebagai penyelia tapak pembinaan selama kira-kira 70 hari
- Mangsa, yang sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak, dilaporkan sukar menyelamatkan diri akibat arus yang deras
- Operasi mencari dan menyelamat diaktifkan selepas panggilan kecemasan diterima dari BBP Titiwangsa
- 11 mangsa berhasil diselamatkan dalam insiden itu, manakala K Suresh dilaporkan hilang
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
