Mayat mangsa dihanyutkan berhampiran Pintasan Saloma dijumpai di Sungai Kandis

KUALA LUMPUR - Lelaki yang dihanyutkan kepala air di Sungai Klang berhampiran Pintasan Saloma di sini pada Isnin lalu akhirnya ditemukan di kawasan Sungai Kandis, Shah Alam.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, mayat lelaki berkenaan dijumpai kira-kira jam 10.30 pagi Jumaat.
"Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Shah Alam untuk bedah siasat," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.
Media dimaklumkan satu sidang akhbar akan dibuat Sazalee bagi memaklumkan butiran lanjut berhubung penemuan itu.
Sementara itu, Pusat Gerakan Operasi Kebangsaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, sepasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam telah dikejarkan ke lokasi selepas menerima panggilan.
Katanya, bomba membantu mengeluarkan mayat mangsa yang dijumpai di kawasan perangkap sampah sebelum diserahkan kepada pihak polis.
"Pihak polis telah mengesahkan mayat ialah mangsa yang telah dilaporkan hanyut di Sungai Klang semasa kejadian banjir di Pintasan Saloma, Kampung Baru, Kuala Lumpur," ujarnya.
Dalam kejadian pada jam 5.40 petang itu, K Suresh, 37, yang bekerja sebagai penyelia tapak pembinaan dihanyutkan kepala air berhampiran Pintasan Saloma selepas terperangkap di bawah jambatan.
Seramai 11 pekerja pembinaan lain bagaimanapun berjaya diselamatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Ringkasan AI
- Lelaki dihanyutkan kepala air di Sungai Klang ditemukan di Sungai Kandis, Shah Alam
- Mayat dijumpai jam 10.30 pagi Jumaat dan dibawa ke Hospital Shah Alam untuk bedah siasat
- Sidang akhbar akan dibuat untuk memaklumkan butiran lanjut tentang penemuan ini
- Bomba membantu mengeluarkan mayat dari kawasan perangkap sampah
- Kejadian berlaku semasa banjir, 11 pekerja lain berjaya diselamatkan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
