Kes Indira Ghandi: Mahkamah perintah PDRM perluas pencarian Muhammad Riduan

IPOH - Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memperluas pencarian Muhammad Riduan Abdullah, yang didakwa gagal menyerahkan anak perempuan bongsunya kepada bekas isterinya M. Indira Gandhi.
Hakim Datuk Norsharidah Awang berkata, pencarian sepatutnya tidak hanya tertumpu di Kelantan, tetapi seluruh Malaysia.
"Kalau boleh, jangan fokus hanya pada Kelantan. Seluruh Malaysia...Kedah, Perak...Kes ini telah berlanjutan bertahun-tahun, dan perlu ada kemas kini yang lebih proaktif," katanya.
Terdahulu, Asisten Komisioner Yap Siew Cheng, 44, daripada Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak, dipanggil untuk sesi soal jawab berhubung afidavit tambahan yang difailkan Indira Ghandi selaku pemohon berkaitan bantuan Budi MADANI 95 (BUDI95) dan Penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) oleh Muhammad Riduan, bagi pemantauan kehakiman berhubung waran tangkap terhadap bekas suaminya itu.
Ditanya Hakim Norsharidah sama ada polis dapat mengenal pasti stesen minyak yang gunakan Muhammad Riduan bagi BUDI95, Yap memaklumkan pihak polis masih dan terus menjalankan siasatan.
Yap juga menjelaskan pihaknya menjalankan siasatan di negeri berkenaan kerana isteri kedua Muhammad Riduan berasal dari Kelantan dan hasil semakan awal daripada Jabatan Pendidikan Negeri sebelum ini, mendapati anaknya bersekolah di Kelantan.
Beliau juga memaklumkan pihak polis masih dan terus menjalankan beberapa langkah-langkah siasatan selanjutnya berhubung pelaksanaan Waran Pengkomitan bertarikh 30 Mei 2014 bagi mengesan Muhammad Riduan bermula 9 Sept hingga 17 November lepas.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 27 Februari tahun depan untuk mengetahui perkembangan kes tersebut. - Bernama
Pada 2009, Muhammad Riduan menukar agama tiga anak mereka kepada Islam tanpa persetujuan Indira Gandhi dan memohon hak penjagaan melalui Mahkamah Syariah.
Pada 29 Januari 2018, Mahkamah Persekutuan telah memutuskan bahawa penukaran agama ketiga-tiga anak kepada Indra Gandhi oleh bekas suaminya Muhammad Riduan adalah batal dan tidak sah.
Mahkamah Persekutuan juga mengarahkan Ketua Polis Negara menangkap Muhammad Riduan kerana mengingkari perintah Mahkamah Tinggi supaya menyerahkan anak perempuan bongsunya kepada bekas isterinya. - Bernama
Ringkasan AI
- Mahkamah Tinggi Ipoh memerintahkan PDRM memperluas pencarian Muhammad Riduan Abdullah ke seluruh Malaysia dan bukan hanya di Kelantan
- Hakim Datuk Norsharidah Awang menekankan perlunya kemas kini proaktif mengenai kes ini yang telah berlanjutan bertahun-tahun
- Sesi soal jawab berlaku antara Hakim Norsharidah dengan Asisten Komisioner Yap Siew Cheng berkaitan dengan usaha pencarian Muhammad Riduan
- Muhammad Riduan didakwa kerana gagal menyerahkan anak perempuan bongsunya kepada bekas isterinya M. Indira Gandhi selepas penukaran agama anak-anak mereka tanpa persetujuan
- Mahkamah Persekutuan memutuskan penukaran agama anak-anak kepada Islam oleh Muhammad Riduan adalah batal dan tidak sah pada 29 Januari 2018, serta mengarahkan Ketua Polis Negara menangkapnya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
