CEO, anak Abuya, 11 pemimpin GISBH bebas hari ini

KAJANG – [DIKEMAS KINI] Setelah menjalani hukuman di Penjara Sungai Buloh selama 13 bulan dan 20 hari, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH), Nasiruddin Mohd Ali, anak bekas pengasas Al-Arqam dan 11 pemimpin tertinggi syarikat itu akan dibebaskan usai solat Jumaat ini.
Peguam, Datuk Rosli Kamaruddin yang mewakili semua tertuduh berkata, meskipun Mahkamah Tinggi di sini menjatuhi mereka hukuman penjara selama 15 bulan, namun jika ditolak dengan tempoh cuti umum dan hujung minggu, ia membolehkan anak guam dibebaskan serta-merta bermula Jumaat.
“Anak guam tidak perlu dibawa ke Penjara Sungai Buloh sebaliknya semua urusan akan diselesaikan di Kompleks Mahkamah Penjara Kajang.
“Setelah urusan pentadbiran diselesaikan, mereka akan dibebaskan hari ini (Jumaat),” katanya yang hadir bersama peguam, Kamal Hisham Jaafar dan Muhammad Nor Tamrin.
Mereka ditempatkan di penjara berkenaan selepas gagal dalam permohonan untuk dilepaskan dengan jaminan pada 24 Mac lalu.
Hakim, Datuk Seri Latifah Mohd Tahar memutuskan demikian selepas mendapati tertuduh selaku pemohon tidak memenuhi syarat iaitu bukan seseorang kanak-kanak di bawah usia 18 tahun, tidak tergolong dalam kategori wajar diberi pengecualian atau menunjukkan mereka mempunyai penyakit kronik.
Bagaimanapun beliau membenarkan semua tertuduh wanita dilepaskan sementara dengan jaminan masing-masing sebanyak RM40,000 dengan dua penjamin.
Justeru itu, sembilan tertuduh wanita terbabit yang mengaku bersalah atas pertuduhan sama, dibebaskan serta-merta selepas membayar denda sebanyak RM4,500.
Pada Jumaat, Nasiruddin dan 12 tertuduh lelaki dihukum penjara 15 bulan manakala sembilan tertuduh wanita didenda masing-masing sebanyak RM4,500 selepas mengaku bersalah atas satu pertuduhan pilihan, menjadi ahli kumpulan menyalahi undang-undang, lima tahun lalu.
Mahkamah memerintahkan tertuduh lelaki itu dihukum penjara bermula tarikh tangkap, antara 25 September hingga 12 Oktober 2024.
Tertuduh wanita diperintah ke penjara selama tujuh bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Mereka ialah Nasiruddin Mohd Ali, 66; isterinya, Azura Md Yusof; 58, anak bekas pengasas Al-Arqam, Mohammad Adib At-Tamimi Asa’ari, 33.
Sementara lapan tertuduh wanita lain ialah Hamimah Yakub, 72; Asmat @ Asmanira Muhammad Ramly, 45; Mahani Kasim, 55; Siti Salmiah Ismail, 58; Siti Hajar Ismail, 52; Khalilatul-Zalifah Mohammad Jamil, 28; Nurul Jannah Idris, 29 dan Nur Jannah Omar, 33.
Seramai 11 tertuduh lelaki pula ialah Hasnan Abd Hamid, 54; Mohd Shukri Mohd Noor, 54; Mokhtar Tajuddin, 61; Shuhaimi Mohamed, 57; Muhammad Afdaluddin Latif, 35; Mohamad Sayuti Omar, 36; Mohd Fazil Md Jasin, 58; Mohd Dhirar Fakhrur Razi, 35; Muhammad Zahid Azhar @ Nadzri, 52; Abu Ubaidah Ahmad Shukri, 35 dan Muhammad Fajrul Islam Khalid, 29.
Ringkasan AI
- CEO GISB Holdings Sdn Bhd, Nasiruddin Mohd Ali, dan 11 pemimpin syarikat akan dibebaskan selepas solat Jumaat
- Mereka menjalani hukuman di Penjara Sungai Buloh selama 13 bulan dan 20 hari
- Hukuman asal 15 bulan dikurangkan kerana kiraan cuti umum dan hujung minggu
- Urusan pembebasan dilakukan di Kompleks Mahkamah Penjara Kajang
- Isteri Nasiruddin dan 8 wanita lain didenda RM4,500, penjara 7 bulan jika gagal bayar denda
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

