Saksi dengar perbualan ahli keluarga Zara Qairina mahu cepatkan pengebumian

KOTA KINABALU – Inkues kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir, pada Jumaat mendedahkan bahawa ahli keluarganya pernah menyatakan hasrat untuk tidak menjalankan bedah siasat kerana mahu mempercepatkan urusan pengebumian.
Solehah Md Noh, saksi ke-50 yang juga guru di sekolah menengah agama tempat Allahyarhamah bersekolah berkata demikian semasa memberi keterangan di hadapan Hakim Koroner, Amir Shah Amir Hassan.
Saksi berkata, pada 17 Julai sekitar jam 1 tengah hari, beliau bersama empat guru lain menziarahi Zara Qairina di tingkat 10, Hospital Queen Elizabeth I.
“Saya mendengar perbualan antara ibu saudara arwah dengan seorang wanita lain. Mereka berkata: 'Kami sudah berbincang yang kami tidak mahu buat post-mortem sebab mahu percepatkan pengebumian Zara'.
“Kemudian, datuk saudara Zara pula berkata: 'Janganlah post-mortem, nanti kena belah-belah'. Selepas itu kami mendengar mereka berbincang untuk mencari van jenazah bagi membawa mayat ke Sipitang,” katanya.
Solehah turut memaklumkan bahawa ketika berada di hospital, mereka ditanya oleh ahli keluarga Zara sama ada kesemua lima guru yang hadir adalah warden, adakah CCTV dipasang di kawasan asrama, dan sama ada mereka merupakan guru yang pernah mengajar Zara.
“Salah seorang daripada kami menjawab bahawa kami bukan warden, tiada CCTV dipasang di asrama, dan kami juga bukan guru yang mengajar Allahyarhamah,” jelasnya.
Beliau juga menyatakan bahawa ketika di hospital pada 17 Julai, tiada seorang guru pun yang memaklumkan kepada waris tentang apa sebenarnya berlaku kepada Zara pada malam kejadian, iaitu 15 Julai.
Malah, saksi mengesahkan bahawa sehingga hari ini, ibu Zara Qairina tidak pernah dimaklumkan mengenai laporan siasatan dalaman mahupun hasil sesi kaunseling terhadap pelajar-pelajar yang terlibat dalam kejadian menimpa anaknya.
Solehah turut menyatakan bahawa beliau dimaklumkan oleh seorang guru bahawa pada malam 15 Julai, berlaku satu perjumpaan di dorm yang melibatkan Zara Qairina, di mana dia telah dipanggil dan dimarahi dengan kata-kata kesat seperti “bodoh” dan “sial” oleh pelajar senior berkaitan dakwaan kes kecurian.
Dalam pertemuan itu, ahli dorm Zara turut menjalankan pemeriksaan mengejut terhadap loker dan beg milik arwah.
Saksi bersetuju bahawa insiden tersebut boleh dikategorikan sebagai buli lisan, memandangkan terdapat kata-kata kesat yang dilontarkan dengan nada marah oleh pelajar senior, yang berpotensi mencetuskan gangguan emosi terhadap mangsa.
Ringkasan AI
- Keluarga Zara Qairina, pelajar Tingkatan Satu, menyatakan hasrat untuk tidak menjalankan bedah siasat bagi mempercepatkan urusan pengebumian
- Guru di sekolah agama Zara memberi keterangan bahawa terdapat perbualan mengenai keinginan keluarga mengelak bedah siasat
- Ketika di hospital, ahli keluarga bertanya pada guru mengenai keadaan asrama dan kemungkinan saksi
- Tiada maklumat diberikan kepada ibu Zara mengenai laporan siasatan atau hasil kaunseling terhadap pelajar-pelajar terlibat
- Sebuah insiden buli lisan yang melibatkan Zara dan pelajar senior berkenaan dakwaan kecurian dilaporkan berlaku
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
