MCMC tumpaskan kegiatan pemancar stesen pangkalan palsu hantar SMS scam

MCMC telah mengesan dan menumpaskan kegiatan pemancaran stesen pangkalan palsu di Genting Highlands, Pahang. Foto MCMC
MCMC telah mengesan dan menumpaskan kegiatan pemancaran stesen pangkalan palsu di Genting Highlands, Pahang. Foto MCMC
A
A
A

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berjaya mengesan serta menumpaskan kegiatan pemancaran Stesen Pangkalan Palsu atau "Fake Base Transceiver” (Fake BTS) di Genting Highlands, Pahang baru-baru ini.

MCMC dalam kenyataan memaklumkan, kejayaan itu hasil operasi bersepadu bersama syarikat telekomunikasi melalui pemantauan serta risikan teknikal dan analisis rangkaian berterusan untuk mengenal pasti gangguan perkhidmatan komunikasi serta penyebaran khidmat pesanan ringkas (SMS) berunsur penipuan kepada pengguna.

"Pada 19 Januari 2026, pasukan MCMC berjaya mengesan dua kenderaan yang digunakan untuk menjalankan aktiviti pemancaran Fake BTS ini.

"Pemeriksaan di lokasi mengesahkan berlaku pemintasan rangkaian telekomunikasi yang dipercayai digunakan untuk menghantar SMS berunsur penipuan (scam) kepada mangsa, sekali gus membuktikan aktiviti tersebut dijalankan secara terancang,” menurut kenyataan itu hari ini.

Menurut MCMC peralatan Fake BTS dan peranti kawalan telah dirampas untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 239(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang membawa hukuman denda hingga RM1,000,000 atau dipenjara hingga 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Siasatan turut dijalankan di bawah Peraturan 16(1)(b), Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 yang membawa hukuman denda maksimum RM300,000 atau dipenjara hingga tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

MCMC menegaskan, suruhanjaya itu tidak akan tidak bertolak ansur terhadap sebarang bentuk penyalahgunaan rangkaian komunikasi yang boleh menjejaskan keselamatan awam dan integriti sistem telekomunikasi negara.

"Sehubungan itu, tindakan penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan bagi memastikan rangkaian komunikasi negara kekal selamat dan terpelihara,” menurut MCMC. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • MCMC telah mengesan dan menumpaskan kegiatan pemancaran Stesen Pangkalan Palsu di Genting Highlands, Pahang
  • Operasi tersebut dilakukan bersama syarikat telekomunikasi melalui pemantauan, risikan teknikal dan analisis rangkaian
  • Pada 19 Januari 2026, dua kenderaan yang digunakan untuk aktiviti pemancaran Fake BTS dikesan
  • Peralatan Fake BTS dan peranti kawalan dirampas untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000
  • MCMC menegaskan tindakan penguatkuasaan akan dipertingkatkan untuk memastikan rangkaian komunikasi negara kekal selamat

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!