Cikgu setuju jika CCTV dipasang, insiden Zara Qairina dapat dielak

KOTA KINABALU – Seorang guru yang juga saksi dalam inkues kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir bersetuju bahawa insiden tragis itu mungkin dapat dielakkan sekiranya kamera litar tertutup (CCTV) telah dipasang lebih awal di asrama sekolah agama berkenaan.
Saksi ke-49, Yuslina Badrum dalam keterangannya di Mahkamah Koroner di sini pada Jumaat, memaklumkan bahawa CCTV hanya dipasang selepas kejadian yang berlaku pada 15 Julai lalu, namun beliau tidak mengetahui lokasi pemasangan sistem tersebut.
“Ya, CCTV telah dipasang. Saya bukan lagi warden, jadi saya tidak tahu di mana ia dipasang, tetapi saya pasti ada CCTV di asrama dan saya percaya ia berfungsi,” katanya.
Dalam keterangannya juga, saksi mengesahkan beliau mengetahui keputusan pihak sekolah untuk tidak membenarkan pelajar menghubungi ibu bapa selama dua hari selepas insiden tersebut.
Bagaimanapun, beliau tidak bersetuju bahawa langkah itu merupakan satu usaha sistematik pihak sekolah untuk menyembunyikan maklumat daripada ibu kepada Zara Qairina.
Saksi menegaskan bahawa pihak sekolah bertindak mengikut landasan yang betul dengan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis dalam siasatan dan menyifatkan insiden tersebut berlaku di luar jangkaan. Beliau turut menyatakan pihak sekolah telah berusaha sebaik mungkin menjaga kepentingan semua pihak.
Saksi turut bersetuju bahawa beberapa muka surat diari milik Zara Qairina telah tersebar di media sosial, khususnya di TikTok yang hanya menonjolkan kandungan bersifat negatif.
Begitupun, beliau tidak bersetuju bahawa terdapat individu dari pihak sekolah yang membocorkan diari tersebut untuk menjawab spekulasi dalam kalangan warganet, dan menegaskan tidak mengetahui siapa pemilik akaun TikTok @PlotTwistZara.
Saksi juga memberitahu bahawa sepanjang tempoh beliau menjadi warden, tiada sebarang aduan rasmi berkaitan kes kecurian atau buli diterima. Jika ada, siasatan dalaman akan dijalankan dan kes yang berasas akan dibawa kepada Unit Disiplin serta Unit Bimbingan dan Kaunseling.
Tambahnya, dalam kes melibatkan kesalahan serius seperti pelajar ponteng keluar sekolah untuk bermain futsal, tindakan disiplin seperti penggantungan sekolah akan dikenakan, dan ibu bapa akan dipanggil untuk dimaklumkan mengenai tindakan tersebut.
Ringkasan AI
- Guru sebagai saksi bersetuju kematian pelajar boleh dielak jika CCTV dipasang awal
- CCTV dipasang selepas kejadian tetapi lokasi pemasangan tidak diketahui oleh saksi
- Pelajar tidak dibenarkan menghubungi ibu bapa dua hari selepas insiden
- Beberapa muka surat diari Zara Qairina tersebar di media sosial
- Tidak ada aduan rasmi kes kecurian atau buli diterima semasa tempoh saksi menjadi warden
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
