Lelaki OKU nyaris maut dalam kebakaran tujuh rumah

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki kurang upaya (OKU) nyaris maut selepas melecur dalam kebakaran melibatkan tujuh buah rumah di Jalan 33/31B, Jinjang, di sini pada Sabtu.
Mangsa berumur 41 tahun itu yang juga mengalami sesak nafas kemudiannya diselamatkan anggota bomba sebelum dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Komander Operasi Kanan, Timbalan Penguasa Bomba II (KUP), Mohd Firdaus Dzulkifli berkata, Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 12.34 tengah hari.
"Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jinjang bersama bantuan BBP Menjalara, BBP Jalan Hang Tuah dan BBP Sri Hartamas digerakkan ke lokasi kejadian.
"Operasi melibatkan empat unit jentera Fire Rescue Tender (FRT), dua unit Emergency Medical Rescue Services (EMRS), dua unit Water Tanker dan dua unit Rapid Intervention Motorcycle (RIM) dengan kekuatan keseluruhan seramai 46 anggota pelbagai pangkat,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Katanya, setibanya pasukan bomba di lokasi, kebakaran didapati membabitkan tujuh buah rumah dengan keluasan kira-kira 100 x 100 kaki persegi dan tahap kemusnahan dianggarkan 100 peratus.
"Tindakan pemadaman dijalankan menggunakan teknik ofensif dan defensif bagi mengawal kebakaran daripada merebak ke rumah berhampiran.
"Kebakaran berjaya dikawal pada jam 2.34 petang,” katanya.
Mohd Firdaus berkata, mangsa lelaki dewasa Orang Kurang Upaya (OKU) berbangsa Cina itu berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba.
"Mangsa mengalami sesak nafas serta melecur di bahagian kaki sebelum dihantar ke Hospital Selayang menggunakan jentera EMRS untuk rawatan di zon kuning.
"Kebakaran berjaya dipadam sepenuhnya pada jam 3.37 petang dan kerja-kerja overhaul telah dilaksanakan," katanya.
Menurutnya, punca kebakaran masih dalam siasatan Unit Siasatan Kebakaran.
Ringkasan AI
- Seorang lelaki kurang upaya nyaris maut dalam kebakaran melibatkan tujuh buah rumah di Jinjang, Kuala Lumpur
- Mangsa berumur 41 tahun itu mengalami sesak nafas serta melecur dan diselamatkan anggota bomba
- Kebakaran yang memusnahkan kesemua rumah tersebut berjaya dikawal dalam tempoh dua jam
- Operasi penyelamatan dan pemadaman melibatkan empat unit Fire Rescue Tender, dua unit Emergency Medical Rescue Services dan lain-lain
- Punca kebakaran sedang disiasat oleh Unit Siasatan Kebakaran
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

