Bas merah jambu tular lagi, kali ini memotong di garisan berkembar

MELAKA – Bas merah jambu yang sebelum ini tular kerana pemanduan berbahaya kembali mencetuskan perhatian apabila kali ini dirakam memotong kenderaan lain di garisan berkembar, sekali gus membahayakan pengguna jalan raya lain.
Video berdurasi 14 saat yang tular di media sosial memaparkan bas awam itu memotong di tempat tidak dibenarkan hingga memaksa sebuah Perodua Myvi yang berada dihadapannya terpaksa mengelak ke tepi bagi mengelakkan insiden tidak diingini.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka, Siti Zarina Mohd Yusop berkata, pihaknya akan mengambil tindakan awal terhadap video tular tersebut.

“JPJ Melaka akan mengeluarkan Notis Siasatan di bawah Seksyen 114 kepada pemilik syarikat bas berkenaan bagi mengarahkan mereka hadir ke JPJ dan mengemukakan maklumat pemandu yang terlibat semasa kejadian.
“Sekiranya siasatan mendapati pemandu terbabit melakukan kesalahan, JPJ Melaka akan mengeluarkan Notis Saman P(22) di bawah Kaedah 17B(1), Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 kerana memotong di garisan berkembar,” katanya.
Beliau berkata, kesalahan itu memperuntukkan kompaun maksimum sehingga RM300 yang akan dikenakan ke atas pemandu jika sabit salah.
Selain itu beliau berkata, kesalahan lain yang berkaitan juga akan dipertimbangkan dan ditentukan semasa proses siasatan terhadap syarikat serta pemandu dijalankan.
Sebelum ini, bas merah jambu pernah tular membabitkan insiden pemandunya menghimpit sebuah Perodua Axia selepas tidak berpuas hati dengan tindakan pemandu kereta itu yang menukar haluan secara mengejut.
Insiden kedua pula memaparkan bas berkenaan keluar dari simpang di kawasan garisan berkembar di Pekan Alor Gajah sehingga menghalang aliran trafik.
Kedua-dua kejadian itu dilaporkan berlaku pada Disember tahun lalu dan tular di media sosial.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

