Dulu dihina kurang bijak, akhirnya Fatima Bosch menang Miss Universe 2025

Miss Mexico, Fatima Bosch (tengah) diraikan oleh para peserta lain selepas dinobatkan sebagai juara Miss Universe 2025 di Nonthaburi, utara Bangkok. - Foto: AFP
Miss Mexico, Fatima Bosch (tengah) diraikan oleh para peserta lain selepas dinobatkan sebagai juara Miss Universe 2025 di Nonthaburi, utara Bangkok. - Foto: AFP
A
A
A

BANGKOK – [DIKEMAS KINI] Fatima Bosch dari Mexico dinobatkan sebagai Miss Universe 2025 dalam majlis yang berlangsung di Nonthaburi, utara Bangkok, Thailand pada Jumaat.

Namun, kejayaan itu tidak terlepas daripada kontroversi besar yang mencetuskan perbualan global.

Drama bermula apabila hos Thailand, Nawat Itsaragrisil, didakwa telah menuduh Fatima Bosch sebagai "bodoh" di atas pentas pertandingan, dipercayai susulan keengganan Bosch menyiarkan kandungan promosi tertentu di media sosialnya.

Bosch memberikan reaksi tegas apabila beliau bertindak keluar secara dramatik dari pentas, ditemani Miss Iraq sekali gus menarik perhatian penonton serta peserta lain.

“Perbuatan pengarah ini tidak menghormati saya; dia menuduh saya bodoh. Dunia perlu melihat ini kerana kami wanita berhak bersuara dan ini platform untuk suara kami,” katanya kepada media.

Tindakan Bosch turut menerima solidariti daripada beberapa peserta lain yang turut berdiri menyokongnya, walaupun dihalang oleh arahan hos supaya kembali duduk.

Kontroversi ini menarik perhatian Presiden Mexico, Claudia Sheinbaum yang memuji keberanian Bosch sebagai contoh wanita yang berani bersuara menentang tekanan dan penghinaan.

Kedutaan Mexico di Thailand turut mengesahkan bahawa mereka sentiasa berhubung dengan Bosch dan keluarganya sepanjang acara berlangsung.

Hos pertandingan, Nawat, kemudiannya muncul dalam satu sidang media dalam keadaan menangis dan membuat permohonan maaf secara terbuka.

Artikel Berkaitan:

“Saya seorang manusia, tekanan sangat besar. Saya tidak berniat mencederakan sesiapa kerana saya menghormati semua peserta. Saya mohon maaf,” katanya.

Selain insiden tersebut, pertandingan Miss Universe 2025 turut dibelenggu beberapa kontroversi lain sebelum penganugerahan berlangsung. Dua hakim, Omar Harfouch dan Claude Makélélé, menarik diri daripada panel penjurian hanya beberapa hari sebelum keputusan diumumkan.

Omar mendakwa pertandingan telah dimanipulasi dengan sebahagian keputusan dikatakan telah ditentukan oleh panel rahsia sebelum pemilihan akhir. Namun, pihak penganjur Miss Universe menafikan dakwaan tersebut dan menegaskan bahawa proses penjurian dijalankan secara telus dan sah.

Tahun ini juga menyaksikan perubahan kepimpinan organisasi Miss Universe apabila Anne Jakkaphong Jakrajutatip, jutawan media Thailand dan aktivis hak transgender meletak jawatan pada Jun lalu.

Mario Búcaro kemudiannya dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu pada akhir Oktober, hanya beberapa hari sebelum para delegasi tiba untuk pertandingan.

Walaupun diwarnai drama dan ketegangan, Miss Universe 2025 menyaksikan Fatima Bosch muncul sebagai simbol keberanian wanita, menamatkan pertelingkahan dan menerima mahkota dengan pengiktirafan global. – Agensi

Ringkasan AI

  • Fatima Bosch dari Mexico dinobatkan sebagai Miss Universe 2025 dalam acara yang berlangsung di Nonthaburi, Thailand
  • Kontroversi mencetus apabila hos pertandingan menuduh Bosch sebagai "bodoh"
  • Bosch keluar dari pentas secara dramatik, ditemani Miss Iraq, menarik perhatian dunia
  • Presiden Mexico, Claudia Sheinbaum, memuji keberanian Bosch
  • Hos Nawat Itsaragrisil muncul dalam sidang media, menangis dan memohon maaf secara terbuka

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!