Perpaduan 2025: Walau sukar diukur, kejayaan tetap dibuktikan

Aaron (tengah) bersemangat mengibarkan Jalur Gemilang bersama warga komuniti sempena program perpaduan yang dianjurkan bagi menyemai semangat kebersamaan dan cintakan negara.
Aaron (tengah) bersemangat mengibarkan Jalur Gemilang bersama warga komuniti sempena program perpaduan yang dianjurkan bagi menyemai semangat kebersamaan dan cintakan negara.
A
A
A

DALAM pentadbiran negara, ada kementerian yang mudah menonjol melalui angka pelaburan, projek fizikal atau pencapaian akademik yang dapat dipersembahkan kepada umum.

Namun Kementerian Perpaduan Negara (KPN) berada dalam kategori tersendiri.

Perpaduan bukan sekadar dasar atau statistik, ia ialah denyut nilai, rasa kebersamaan dan hubungan sosial yang berkembang dalam kehidupan rakyat.

Justeru kejayaannya sering sukar diukur, apatah lagi dibuktikan secara jelas kepada masyarakat.

Tahun 2025 bagaimanapun menjadi titik perubahan persepsi itu apabila kementerian yang diterajui Datuk Aaron Ago Dagang berjaya mencipta momentum baharu.

Menurut Aaron, KPN menunjukkan bahawa aspek perpaduan yang selama ini dianggap subjektif, sebenarnya boleh diterjemah kepada hasil nyata.

“Sejak awal tahun, kementerian berdepan cabaran besar iaitu bagaimana mahu membuktikan bahawa usaha memupuk perpaduan membawa impak sebenar dan bukan hanya program atau slogan semata-mata.

“Cabaran itu wujud kerana KPN mengurus perkara yang ‘tidak kelihatan’, berbeza dengan kementerian lain yang membina infrastruktur atau mengumumkan angka pertumbuhan ekonomi,” katanya.

Namun di bawah kepimpinan Aaron, pendekatan baharu digerakkan melalui strategi lebih tersusun dan berpaksikan pengalaman komuniti.

Artikel Berkaitan:

Tahun ini turut memperkenalkan tema nasional baharu, Harmoni Dalam Kepelbagaian, slogan yang pada awalnya kedengaran asing tetapi akhirnya diterima kerana kematangannya.

Dalam suasana negara yang berdepan tekanan identiti, perbezaan politik dan cabaran hubungan antara penganut agama, naratif ini membawa mesej bahawa Malaysia perlu melangkah daripada sekadar toleransi minimum kepada keharmonian yang lebih tulen dan inklusif.

Dari segi pelaksanaan, KPN mencatatkan 762 program sehingga November 2025, angka yang dianggap luar biasa kerana sebahagian besarnya melibatkan penyertaan akar umbi.

Sambutan Minggu Perpaduan dijadikan acara nasional yang lebih segar, manakala usaha memodenkan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) menghasilkan 301 KRT Progresif yang bukan sahaja mengurus komuniti tetapi berperanan memacu ekonomi setempat.

Pendidikan awal turut diberi penekanan dengan peruntukan RM33.73 juta bagi menaik taraf kemudahan Taska dan Tabika Perpaduan, termasuk penyediaan Starter Kit, insurans kemalangan, makanan tambahan dan buku aktiviti murid. Tambahan RM5 juta disalurkan untuk menaik taraf 119 Tabika Perpaduan bagi memastikan ruang pembelajaran lebih selamat, kondusif dan inklusif.

Pendekatan ini memastikan akses kepada pendidikan asas lebih seimbang di seluruh negara.

Pembangunan modal insan

Dalam pembangunan modal insan, KPN memperkasa belia dan mahasiswa melalui Biasiswa Tunku Abdul Rahman kepada 43 pelajar serta penyertaan 324 sukarelawan siswa dalam program Madani Berkhidmat.

Seramai 367 mahasiswa turut dilantik sebagai Ejen Perpaduan bagi memupuk jati diri nasional.

Di bawah inisiatif Harmoni Madani, pelbagai program keagamaan dan hubungan antara penganut agama dilaksana, antaranya Sambutan Keharmonian Antara Penganut Agama Sedunia, Dialog Harmoni dan perarakan harmoni pelbagai etnik.

Iklan-iklan perayaan untuk Tahun Baharu Cina, Aidilfitri, Gawai Kaamatan, Deepavali dan Krismas terus memainkan peranan mendidik masyarakat tentang nilai perpaduan.

Dalam aspek pengurusan konflik, kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Pengurusan Isu Perpaduan melibatkan 12 agensi dan melancarkan Rangkaian Aduan Komuniti Awam Nasional (RAKAN), membolehkan rakyat menyalurkan aduan secara digital.

Pemerkasaan 603 Mediator Komuniti turut membantu menyelesaikan pertikaian dengan lebih cepat dan berkesan.

Eksplorasi Rukun Negara diperluas melalui sambutan 55 Tahun Rukun Negara, Majlis Amanat Perdana Hari Kebangsaan, Kempen Taat Setia Rukun Negara dan Program Gerak Integrasi Perpaduan yang memberi tumpuan kepada elemen silang budaya. Program Citra Negaraku menyediakan geran RM20,000 kepada universiti untuk memupuk jati diri mahasiswa.

Program arkib dan muzium seperti Pertandingan Mural Rukun Negara, Arkib@Sekolah dan IPIM di 41 muzium pula mengukuhkan kefahaman pelajar terhadap sejarah dan warisan negara.

Usaha merakyatkan budaya dan literasi diteruskan melalui Citra Nusa @ Muzium, Fiesta Uniti, sistem pembayaran tanpa tunai di Muzium Negara serta penubuhan Majlis Sejarawan Negara. Arkib Komuniti dilancar bagi menggalakkan pendokumentasian sejarah setempat, manakala pembukaan semula Galeria Sri Perdana menyegarkan naratif kepimpinan negara.

Festival Kaligrafi Perpaduan, Karnival Baca Perdana, Baucar Buku Semarak Membaca bernilai RM1 juta dan Ceritaku@Sekolah turut menjadi pemangkin literasi negara. Kejayaan Kementerian Perpaduan Kejayaan KPN tahun ini menunjukkan satu hakikat penting, perpaduan memerlukan kerja yang konsisten, terancang dan tidak boleh ditunda.

Dalam dunia yang semakin sarat dengan perbezaan ideologi, identiti agama dan budaya, KPN telah membuktikan bahawa keharmonian mesti diurus secara aktif melalui interaksi yang berterusan, program pencegahan dan platform yang mempertemukan rakyat daripada latar belakang berbeza.

Dengan hasil yang dicapai sepanjang 2025, kementerian kini dilihat sebagai salah satu agensi kerajaan yang paling konsisten bekerja di lapangan dan paling dekat dengan denyut nadi komuniti.

Walaupun kejayaan perpaduan sukar dirangkum dalam bentuk angka, pencapaian tahun ini menunjukkan bahawa perpaduan tetap boleh dibina, diukur dan dirasai apabila diberikan fokus jelas, strategi matang dan kepimpinan yang tekun.

Tahun 2025 akhirnya menjadi bukti bahawa KPN bukan lagi ‘kementerian kecil’ yang sekadar wujud, tetapi sebuah institusi yang membawa misi nasional yang besar dan kritikal untuk masa depan Malaysia.

 

 

Ringkasan AI

  • Kementerian Perpaduan Negara (KPN) beroperasi dalam bidang yang sulit diukur kerana ia melibatkan nilai, kebersamaan, dan hubungan sosial
  • Pada 2025, KPN dipimpin oleh Datuk Aaron Ago Dagang, mencipta momentum baharu dengan membuktikan perpaduan boleh diterjemah kepada hasil nyata
  • KPN melancarkan 762 program yang melibatkan penyertaan akar umbi dan mengadakan Sambutan Minggu Perpaduan sebagai acara nasional
  • Peningkatan pada pendidikan awal dengan peruntukan RM33.73 juta untuk menaik taraf Taska dan Tabika Perpaduan dan tambahan RM5 juta untuk 119 Tabika
  • KPN membuktikan melalui kepimpinan dan strategi yang matang, perpaduan dalam masyarakat boleh dibina, diukur dan dirasai

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!