Sukan SEA 2025: Tidak mustahil Danish Iftikhar lakar kejutan di Thailand

PELARI pecut muda negara Danish Iftikhar Muhammad Roslee berpotensi melakar kejutan pada penampilan sulung di pentas Sukan SEA 2025 di Thailand bulan depan.
Ketua Jurulatih Olahraga Kebangsaan, Mohd Manshahar Abdul Jalil berkata, tidak mustahil raja pecut Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 itu menamatkan saingan di kedudukan podium bagi acara ‘riben biru’ berkenaan.
"Kalau ikut ranking semasa, Danish Iftikhar berada dalam kelompok tiga teratas. Tidak ada yang mustahil (kejutan daripada Danish Iftikhar) kerana dalam olahraga sukar dijangka.
"Ada atlet kita jangkakan mereka dapat pingat tetapi tidak dapat. Ia sudah berlaku beberapa kali pada Sukan SEA, terutama acara pecut,” katanya ketika ditemui pada sesi perjumpaan Ketua Kontinjen Sukan SEA 2025 Nurul Huda Abdullah bersama atlet olahraga kebangsaan di ibu negara pada Jumaat.
Pada Ogos lepas, Danish Iftikhar mencatat 10.26 saat (s), yang juga catatan peribadi terbaiknya semasa merangkul emas 100m lelaki pada Terbuka Malaysia di Kangar, Perlis.
Catatan itu juga bukan sahaja mengesahkan slot ke Sukan SEA 2025 bagi atlet berusia 18 tahun itu malah melepasi masa dicatatkan pemenang emas edisi di Phnom Penh, Soraoat Dabbang dari Thailand dengan 10.37s.
Dalam pada itu, Mohd Manshahar menjangkakan jaguh tuan rumah Puripol Boonson dan wakil Indonesia Lalu Muhammad Zohri sebagai pencabar utama untuk acara 100m lelaki pada temasya sukan dwitahunan itu.
Puripol adalah pelari terpantas serantau tahun ini dengan catatan 10.15s dilakar di Chongqing, China pada Mei lepas manakala Lalu mencatat 10.21s pada kejohanan di Miyakonojo, Jepun bulan lepas.
Sukan SEA 2025 dijadualkan berlangsung dari 9 hingga 20 Disember ini, melibatkan tiga wilayah iaitu Bangkok, Chonburi dan Songkhla. - Bernama
Ringkasan AI
- Pelari pecut muda negara Danish Iftikhar Muhammad Roslee berpotensi melakar kejutan pada Sukan SEA 2025 di Thailand
- Danish berada dalam kelompok tiga teratas menurut ranking semasa
- Pada Ogos lalu, Danish mencatat 10.26 saat yang juga catatan peribadi terbaiknya di Terbuka Malaysia
- Catatan Danish melepasi masa pemenang emas edisi sebelumnya di Phnom Penh, Soraoat Dabbang dari Thailand
- Sukan SEA 2025 berlangsung dari 9 hingga 20 Disember, melibatkan Bangkok, Chonburi dan Songkhla
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
