PRN Sabah: Golongan muda, isu infra antara tumpuan Cikgu Rusman

Cikgu Rusman (tengah) pada program Ziarah Kasih PDM Kampung Membakut dan PDM Pimping sempena kempen PRN Sabah. - Foto Facebook Rusman Dulamit
Cikgu Rusman (tengah) pada program Ziarah Kasih PDM Kampung Membakut dan PDM Pimping sempena kempen PRN Sabah. - Foto Facebook Rusman Dulamit
A
A
A

MEMBAKUT - Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Membakut, Rusman Dulamit memberi tumpuan kepada golongan muda, peniaga kecil dan usaha menyelesaikan isu infrastruktur setempat dalam kempennya.

Beliau yang mesra dipanggil Cikgu Rusman berkata, pada peringkat awal kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 ini, fokusnya lebih terarah kepada mendekati pengundi muda yang merupakan kelompok signifikan di kawasan itu.

Rusman, 55, berkata, pengalaman beliau sebagai bekas pendidik di kawasan berkenaan akan memberikan kelebihan untuk mendekati golongan muda.

"Ini adalah bekas anak-anak murid saya. Mereka sudah mengenali saya di Membakut dan mudah untuk berjumpa dengan anak-anak muda ini,” katanya kepada Bernama selepas bertemu jentera di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Binsulok, DUN Membakut di sini baru-baru ini.

Beliau berkata, antara isu yang dibangkitkan golongan muda adalah latihan kemahiran bagi pelajar yang kurang berkemampuan.

"Kita perlu membantu supaya pelajar yang tidak bernasib baik ini dapat melanjutkan pengajian, kita cuba bantu ke arah Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET),” katanya.

Rusman turut mencadangkan pembentukan pasukan badan pemikir belia khusus sebagai platform mengenal pasti keperluan generasi muda di Membakut.

"Pasukan ini akan melibatkan semua lapisan kaum yang ada di Mambakut untuk kita duduk sama-sama berbincang keperluan belia,” katanya.

Selain itu, Rusman berkata, beliau turut akan memberi perhatian khusus kepada golongan peniaga kecil, termasuk peniaga pasar atau tamu di Membakut yang kebanyakannya tergolong dalam kategori B40.

Artikel Berkaitan:

"Saya lihat harapan daripada usahawan dan peniaga kecil supaya diberikan bantuan daripada pihak kerajaan,” katanya.

Cikgu Rusman (kanan) pada program Ziarah Kasih PDM Kampung Membakut dan PDM Pimping sempena kempen PRN Sabah. - Foto Facebook Rusman Dulamit
Cikgu Rusman (kanan) pada program Ziarah Kasih PDM Kampung Membakut dan PDM Pimping sempena kempen PRN Sabah. - Foto Facebook Rusman Dulamit

Sementara itu, Rusman berkata, beliau yakin mempunyai peluang cerah untuk mendapat kepercayaan pengundi DUN Membakut yang pernah menjadi kubu kuat BN kerana disokong oleh rekod pemimpin parti itu di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, banyak pembangunan yang dibuat di Membakut dan Bongawan yang terletak di bawah Parlimen Kimanis hasil usaha Ahli Parlimen Kimanis daripada BN Datuk Mohamad Alamin.

Pada PRN kali ini, BN meletakkan calon di 45 kerusi DUN termasuk Membakut yang akan ditandingi oleh Rusman selaku muka baru dalam pertembungan 10 penjuru bagi mencabar Datuk Mohd Arifin Mohd Arif daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang telah menyandang kerusi berkenaan sejak 2004. - Bernama

Ringkasan AI

  • Calon Barisan Nasional bagi DUN Membakut, Rusman Dulamit memberi fokus kepada golongan muda dan peniaga kecil selain isu infrastruktur
  • Rusman menggunakan pengalaman sebagai bekas pendidik untuk mendekati pengundi muda di Membakut
  • Golongan muda di Membakut angkat isu keperluan latihan kemahiran bagi pelajar yang kurang berkemampuan
  • Rusman mencadangkan pembentukan pasukan badan pemikir belia untuk mengenal pasti keperluan pelajar muda
  • Rusman percaya mempunyai peluang cerah berdasarkan rekod pemimpin BN di kawasan Membakut dan disokong usaha pembangunan oleh Ahli Parlimen Kimanis dari BN

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!