Timbalan Ketua Bahagian bersama lebih 300 ahli Gagasan Rakyat sertai BN di Sungai Sibuga

SANDAKAN - Parti Gabungan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) menerima tamparan hebat apabila Timbalan Ketua Bahagian Libaran yang juga Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Sungai Sibuga, Emran Elan, bersama lebih 300 ahli termasuk barisan pemuda, mengumumkan penyertaan ke dalam UMNO.
Dengan penyertaan itu sekali gus kesemua mereka menyatakan sokongan penuh kepada calon Barisan Nasional (BN), Datuk Suhaimi Nasir.
Emran berkata, keputusan itu dibuat kerana beliau telah hilang kepercayaan sepenuhnya terhadap pucuk pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di peringkat kawasan yang disifatkannya gagal menunjukkan kepimpinan berjiwa rakyat.
"Saya menyokong penuh kepimpinan calon BN Datuk Suhaimi Nasir, kerana kami sudah hilang kepercayaan terhadap pucuk pimpinan Gagasan Rakyat yang ada di Sungai Sibuga ini.
"Saya telah berada dalam parti memegang jawatan sebagai timbalan bahagian untuk memperjuangkan parti, tetapi hari ini saya sendiri melihat kepimpinan BN jauh lebih matang, mesra rakyat dan berkesan," katanya dalam sidang akhbar di sini pada Khamis.
Menurut Emran lagi, beliau terpanggil menyertai UMNO selepas melihat pendekatan kepimpinan Suhaimi yang disifatkan jauh lebih dekat dengan rakyat dan mampu meneruskan perjuangan sebenar untuk masyarakat.
"Pendekatan BN jauh berbeza. Pemimpinnya turun padang, mendengar masalah rakyat, dan bukan hanya berpolitik. Kami sebagai rakyat perlukan kepimpinan begini yang boleh memayungi semua lapisan masyarakat," ujarnya.
Langkah Emran bersama ratusan ahli yang lain itu disifatkan sebagai gelombang kebangkitan baharu di Sungai Sibuga, sekali gus memperkukuh jentera BN menjelang fasa kedua kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
DUN Sungai Sibuga menyaksikan pertandingan lima penjuru melibatkan Ismail Md Said (Parti Impian Sabah), Nurulalsah Hassan Alban (Warisan), Norani Asmatil (Perikatan Nasional), Datuk Amirshah Yaakub (GRS).
Ringkasan AI
- Timbalan Ketua Bahagian Libaran dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Sungai Sibuga, Emran Elan, berserta lebih 300 ahli termasuk barisan pemuda, meninggalkan Gabungan Rakyat Sabah untuk menyertai UMNO
- Emran dan ahli yang berpindah menyatakan sokongan penuh kepada calon Barisan Nasional, Datuk Suhaimi Nasir
- Keputusan berpindah dibuat kerana kehilangan kepercayaan terhadap kepimpinan Gabungan Rakyat Sabah di peringkat kawasan
- Pendekatan kepimpinan UMNO oleh Datuk Suhaimi Nasir disifatkan sebagai lebih matang, mesra rakyat dan berkesan
- Penyertaan Emran dan ratusan ahli lain disifatkan sebagai gelombang kebangkitan baharu di Sungai Sibuga, memperkukuh jentera BN untuk PRN Sabah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
