Ketua PDM BN jumpa calon GRS, isytihar sokongan

LIBARAN – Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Manila menerima kunjungan mengejut seorang Ketua Pusat Daerah Mengundi (PDM) daripada parti lawan sebelum individu berkenaan mengisytiharkan sokongan kepada GRS.
Hazem Mubarak Tun Musa berkata, kejadian itu berlaku ketika beliau menjalankan kempen rumah ke rumah di Kampung Luboh pada pagi Khamis.
Ketika lawatan tersebut, Hazem didatangi Ketua PDM Barisan Nasional (BN) Luboh, Hassan Kibing.
"Pada pertemuan yang tidak dirancang itu, Hassan menyatakan hasrat keluar daripada BN dan menyertai GRS.
"Pihak kami menerima baik keputusan Hassan untuk menyertai dan memberi sokongan," katanya dalam satu kenyataan media pada Khamis.
Difahamkan, penyertaan Hassan itu memperlihatkan sokongan terhadap Hazem selaku calon nombor enam DUN Sungai Manila semakin meningkat.
Sebelum ini, beliau turut menerima penyertaan 50 ahli Warisan yang keluar parti dan menyertai GRS.
DUN Sungai Manila menyaksikan pertarungan enam penjuru membabitkan Hazem Mubarak (GRS), Zaini Tiksun (Barisan Nasional – BN), Yusri Abu (Perikatan Nasional – PN), Sittinara (Parti Warisan), Irian Nanang (Parti Impian Sabah) dan Faizal Wahab (Parti Perpaduan Rakyat Sabah – PPRS).
Ringkasan AI
- Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi Dewan Undangan Negeri Sungai Manila, Hazem Mubarak Tun Musa menerima sokongan daripada Ketua PDM Barisan Nasional Luboh
- Kejadian sokongan itu berlaku ketika Hazem menjalankan kempen rumah ke rumah di Kampung Luboh
- Ketua PDM BN, Hassan Kibing mengisytiharkan hasrat keluar daripada BN dan menyertai GRS
- Penyertaan Hassan meningkatkan lagi sokongan terhadap Hazem sebagai calon GRS
- DUN Sungai Manila menyaksikan pertarungan enam penjuru antara calon dari GRS, BN, PN, Warisan, Parti Impian Sabah, dan PPRS
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
