BN akan bincang status MIC selepas PRN Sabah

Zambry
Zambry
A
A
A

PUTRAJAYA – [DIKEMAS KINI] Barisan Nasional (BN) hanya akan membincangkan semula status MIC dalam gabungan itu selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah selesai, kata Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Beliau menjelaskan bahawa keutamaan BN ketika ini adalah untuk menumpukan sepenuhnya kepada PRN Sabah yang sedang berlangsung.

“Saya percaya kita akan berikan keutamaan dan saya fikir semua parti komponen BN mempunyai persefahaman supaya keutamaan-keutamaan yang perlu diberikan, kerana waktu ini kita berhadapan dengan pilihan raya di Sabah, kita selesaikan dululah di Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Rabu ketika mengulas mengenai tarikh perbincangan Dewan Tertinggi BN berhubung status MIC.

Perhimpunan Agung Tahunan MIC ke-79 yang berlangsung pada Ahad lalu memutuskan untuk menangguhkan keputusan sama ada parti itu akan keluar atau kekal dalam BN.

Ia selepas tiga usul, termasuk cadangan untuk meninggalkan BN dan membuat permohonan menyertai gabungan pembangkang, dibentangkan oleh Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan.

Bagaimanapun, Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran berkata, ketiga-tiga usul termasuk keluar daripada BN telah diterima dan diserahkan kepada pimpinan Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC).

Sementara itu, dalam perkembangan berbeza, Zambry yang juga Menteri Pendidikan Tinggi menjelaskan beliau tidak mempunyai sebarang maklumat berkaitan spekulasi tempoh senatornya disambung dan kemungkinan akan bertukar portfolio.

“Saya serahkan kepada Perdana Menteri kerana soal pelantikan senator, sambung... saya tidak boleh menjawab,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, spekulasi mengenai Kabinet baharu Anwar bertiup kencang dengan beberapa muka baharu diperkatakan akan dilantik menyertainya.

Anwar turut diperkatakan akan mengumumkan Kabinet baharu awal bulan depan selepas selesai PRN Sabah.

Ringkasan AI

  • Barisan Nasional hanya akan membincangkan status MIC selepas PRN Sabah selesai
  • Keutamaan BN ketika ini adalah PRN Sabah
  • Perbincangan mengenai status MIC ditangguhkan untuk memberi fokus kepada PRN Sabah
  • Perhimpunan Agung Tahunan MIC ke-79 memutuskan untuk menangguhkan keputusan keluar atau kekal dalam BN
  • Presiden MIC berkata ketiga-tiga usul termasuk keluar dari BN telah diterima dan diserahkan kepada CWC

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!