Remaja hamil luar nikah beri kesan sosial, pendidikan

Kehamilan remaja bukan hanya isu moral atau peribadi, tetapi cabaran sosial nasional yang memerlukan perhatian serius. Foto hiasan
Kehamilan remaja bukan hanya isu moral atau peribadi, tetapi cabaran sosial nasional yang memerlukan perhatian serius. Foto hiasan
A
A
A

KES kehamilan remaja luar nikah terus menjadi antara isu sosial paling mencabar dalam masyarakat Malaysia hari ini.

Buktinya seramai 16,951 remaja hamil yang berusia 19 tahun ke bawah dan tidak berkahwin telah direkodkan di fasiliti kerajaan bagi tempoh 2020 hingga 2024.

Pakar Perunding Kaunselor Kekeluargaan dan Perkahwinan, Hushim Salleh berkata, terlampau bebas menyumbang kepada peningkatan kes hamil luar nikah sejak lima tahun kebelakangan ini terutama dalam kalangan remaja bawah umur yang masih bersekolah.

“Walaupun saya telah mengendalikan kes remaja terlanjur sejak 1980-an, lima tahun terakhir paling membimbangkan kerana kami berdepan kira-kira lapan hingga 10 kes sebulan,” katanya.

Tambah beliau, generasi hari ini terlalu terdedah kepada media sosial dan pornografi, sekali gus meningkatkan keinginan melakukan hubungan seks.

Angka yang didedahkan itu menimbulkan persoalan besar mengenai peranan institusi pendidikan, keluarga dan komuniti dalam menyediakan perlindungan serta bimbingan yang sewajarnya kepada golongan belia.

Jika tidak dibendung, ia pasti akan memberi kesan mendalam pada masa depan anak-anak ini.

Misalnya dari sudut pendidikan, kehamilan awal boleh menjadi punca utama pelajar muda tercicir daripada sekolah.

Ramai yang terpaksa berhenti belajar akibat stigma, tekanan rakan sebaya atau kekangan fizikal dan emosi yang mengganggu pembelajaran.

Artikel Berkaitan:

Tanpa sistem sokongan seperti kaunseling intensif, program pembelajaran fleksibel atau fasiliti penjagaan anak, kebanyakan ibu muda sukar untuk kembali semula ke alam persekolahan selepas bersalin.

Akibatnya, mereka kehilangan peluang meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Kesan ini tidak berhenti di situ, tanpa pendidikan yang kukuh, peluang untuk mendapatkan pekerjaan berkualiti dan berpendapatan stabil menjadi semakin tipis.

Secara keseluruhannya, kehamilan remaja bukan hanya isu moral atau peribadi, tetapi cabaran sosial nasional yang memerlukan perhatian serius.

Tindakan segera dan terancang perlu diambil bagi memastikan masa depan belia tidak terus tergadai akibat kekurangan bimbingan, pendidikan dan perlindungan yang sepatutnya mereka terima.

Negara hanya boleh maju apabila generasi mudanya dilindungi, diperkasa dan diberi ruang untuk membina masa depan yang lebih cerah.

.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!