Remaja hamil luar nikah: Seksualiti tak boleh lagi dianggap tabu

Nor Azura
Nor Azura
A
A
A

SHAH ALAM – Isu berkaitan seksualiti dalam kalangan remaja tidak lagi boleh dianggap sebagai sesuatu yang tabu atau dipandang enteng kerana persoalan maruah dan harga diri wajib diingatkan secara jelas oleh ibu bapa serta ahli keluarga terdekat.

Pengerusi Persatuan Kebajikan Bayt al-Rahmah, Nor Azura Kamarudin Sohami berkata, undang-undang lebih tegas terhadap eksploitasi seksual digital dan pengantunan kanak-kanak (child grooming) perlu diperkasakan, termasuk pelaksanaan intervensi keluarga serta kaunseling wajib bagi kes berisiko di pusat komuniti setempat.

Menurut beliau, usaha tersebut perlu dilaksanakan secara berterusan dan diperjuangkan bermula dari peringkat Parlimen.

Tegasnya, isu kehamilan luar nikah tidak seharusnya dipikul oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan badan bukan kerajaan (NGO) semata-mata.

“Ia perlu diperjuangkan di kawasan Parlimen masing-masing melalui pengukuhan pelaksanaan Modul Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEERS) yang diperkenalkan oleh KPM, di samping penggubalan undang-undang yang lebih tegas terhadap eksploitasi seksual digital serta child grooming.

“Pada masa sama, ekosistem keluarga mesti kembali memikul amanah tarbiah bahawa rumah adalah madrasah pertama anak-anak.

“Data yang dikemukakan membuktikan bahawa bukan hanya remaja gagal menjaga diri, malah golongan dewasa yang paling hampir turut gagal mendidik,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Sebelum ini, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri mendedahkan di Dewan Rakyat bahawa seramai 16,951 remaja perempuan berusia 19 tahun ke bawah yang tidak berkahwin telah direkodkan hamil bagi tempoh 2020 hingga 2024.

Menurut data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), jumlah itu merupakan sebahagian daripada keseluruhan 41,842 remaja hamil berusia 19 tahun ke bawah, sama ada yang telah berkahwin atau belum.

Artikel Berkaitan:

Daripada keseluruhan angka tersebut, kira-kira 50 peratus adalah kaum Melayu, Iban (11 peratus), Orang Asli Semenanjung (sembilan peratus), Cina (lima peratus), India (tiga peratus), manakala selebihnya terdiri daripada pelbagai etnik lain.

Nor Azura berpandangan bahawa angka yang didedahkan bukan sekadar statistik klinikal, tetapi merupakan gambaran krisis terhadap institusi keluarga, pendidikan nilai, dan keselamatan sosial remaja di negara ini.

Beliau menambah, kehamilan luar nikah dalam kalangan remaja sering dianggap sebagai kesilapan individu, sedangkan hakikatnya fenomena tersebut mencerminkan kegagalan sistem sokongan emosi, kawalan sosial digital dan pendidikan seksualiti yang seimbang antara ilmu, akhlak, maruah diri dalam entiti keluarga serta masyarakat.

“Persoalan yang wajar kita fikirkan bukan hanya mengapa remaja bawah umur hamil, tetapi di manakah keluarga ketika mereka memerlukan bimbingan?

“Kehamilan luar nikah remaja adalah isu maruah, bukan semata-mata isu kesihatan. Ia menuntut kerjasama institusi kerajaan, sekolah, keluarga, komuniti dan media dengan pendekatan penuh rahmah.

“Bayt al-Rahmah komited untuk terus melindungi wanita dan remaja, membimbing serta memulihkan maruah dan jati diri mereka, di samping memperkukuh institusi kekeluargaan agar krisis ini tidak menjadi norma dalam masyarakat,” ujarnya.

Bayt al-Rahmah merupakan pusat perlindungan dan bimbingan ke arah pemulihan akhlak, penjagaan kehamilan, kelahiran selamat serta pemerkasaan wanita dan remaja hamil luar nikah.

Ditubuhkan pada 2010, pusat ini berdaftar di bawah Akta Pusat Jagaan 1993 dan Unit Pemulihan Ar-Riqab Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Rumah perlindungan tersebut memberi tumpuan kepada intervensi yang menggabungkan pemulihan agama dan akhlak, dengan penekanan terhadap nilai taubat, maruah serta kasih kepada Tuhan.

Antara program yang dilaksanakan termasuk kaunseling psikologi secara individu, berkumpulan dan komuniti, pendidikan kemahiran hidup serta pengukuhan spiritual pasca pemulihan.

Bayt al-Rahmah turut memperkukuh pusat talian TIARA bagi menangani isu berkaitan remaja, ibu bapa dan individu yang berdepan risiko kehamilan luar nikah, gangguan emosi dan masalah kekeluargaan.

Ringkasan AI

  • Isu berkaitan seksualiti dalam kalangan remaja dilihat serius perlu penanganan bersama keluarga, penguatkuasaan undang-undang dan pendidikan seksualiti seimbang
  • Nor Azura Kamarudin menekankan pentingnya undang-undang tegas terhadap eksploitasi seksual digital dan child grooming serta peranan keluarga dalam pendidikan
  • Kehamilan luar nikah remaja merupakan refleksi krisis nilai keluarga dan institusi pendidikan, menuntut kerjasama pelbagai pihak
  • Data menunjukkan 16,951 remaja perempuan bawah umur tidak berkahwin hamil dari 2020 hingga 2024, menunjukkan masalah sosial dan pendidikan nilai dalam masyarakat
  • Bayt al-Rahmah, pusat perlindungan dan bimbingan, berusaha melindungi wanita dan remaja serta memperkukuh institusi kekeluargaan melalui pendidikan akhlak dan spiritual

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!