Tindakan tegas terhadap tiga bekas ADUN Pas Perlis bukan dibuat secara gelojoh

SHAH ALAM - Permohonan yang dikemukakan oleh tiga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perlis untuk menjadi ahli Pas akan diproses mengikut prosedur biasa parti.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tindakan yang diambil terhadap tiga ADUN berkenaan sebelum ini bukan dibuat secara gelojoh, sebaliknya berasaskan prinsip disiplin dan pengajaran perjuangan Islam.
"Tindakan tiga wakil rakyat berkenaan telah memberi kesan kepada kestabilan dan penguasaan Pas sebagai kerajaan di negeri itu.
"Walaupun kita kesal dengan apa yang berlaku, yang lebih penting pada ketika ini ialah pengajaran yang perlu diambil daripada peristiwa tersebut," katanya dalam kenyataan di Facebook pada Ahad.
Tuan Ibrahim menjelaskan, pendekatan disiplin yang diambil Pas adalah berlandaskan sirah Rasulullah SAW, khususnya peristiwa tiga sahabat yang tidak menyertai peperangan Tabuk.
"Dalam peristiwa tersebut Rasulullah SAW mengambil tindakan disiplin yang tegas, mereka dipulau oleh masyarakat, tidak ditegur oleh sahabat-sahabat lain, dan tidak dibenarkan menggauli isteri mereka.
"Ketegasan Rasulullah SAW menjadi peringatan bahawa ketaatan kepada arahan kepimpinan dan disiplin jemaah tidak boleh dipandang ringan," ujarnya.
Menurut beliau, sejarah itu wajar dijadikan iktibar bahawa perjuangan menegakkan Islam, membina negara yang adil serta menjamin kemakmuran ummah bukanlah suatu tugas kecil yang boleh dipandang ringan.
"Kita yakin dengan amanah besar ini, Pas akan terus berdepan pelbagai cabaran.
"Namun dengan disiplin, kesatuan dan pertolongan ALLAH, Pas akan kekal teguh sebagai wadah perjuangan yang berintegriti,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
