MIC-BN bukan musuh, sedia untuk bertemu - Vigneswaran

 Vigneswaran
Vigneswaran
A
A
A

SHAH ALAM - MIC terbuka untuk bertemu dengan kepimpinan Barisan Nasional (BN) sekiranya dipelawa bagi membincangkan masa depan parti itu dalam gabungan berkenaan.

Presidennya, Tan Sri SA Vigneswaran berkata, MIC tidak pernah menganggap gabungan yang dipimpin Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu dan UMNO sebagai musuh.

“Buat masa ini kita belum dapat jemputan untuk adakan pertemuan dengan BN. Boleh berjumpa bila-bila masa. Semua orang kena faham BN atau UMNO dengan MIC bukan musuh pun, kita bersama lebih 60 tahun.

“Apa yang kita buat ini demi masa depan parti kerana kita lihat MIC tidak diberikan ruang dan apabila sesuatu keputusan diambil bukan bermakna MIC hendak ugut sesiapa, MIC tidak pernah macam itu dan tidak pernah hendak mengecilkan hati sesiapa,” katanya kepada Sinar Harian.

Pada Rabu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN berkata, usaha Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan yang mahu mengatur perjumpaan dengan pimpinan tertinggi MIC untuk perbincangan disifatkan sebagai pendekatan terbaik.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, perwakilan MIC ketika AGM ke-79 yang berlangsung di Shah Alam, sebulat suara menyokong usul menamatkan penyertaan dalam BN dan menyerahkan kepada kepimpinan parti untuk menentukan masa yang sesuai bagi berbuat demikian serta membentuk jajaran baharu.

Susulan itu, Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) parti berkenaan akan meneliti usul perwakilan bagi menentukan langkah seterusnya.

Sementara itu, ditanya mengenai tarikh sebenar CWC MIC bermesyuarat bagi membincangkan perkara tersebut, Vigneswaran berkata, ia akan berlangsung dalam tempoh terdekat.

“Mesyuarat tidak diputuskan lagi bila tapi akan dibuat dalam masa terdekat. Keputusan yang dibuat oleh perwakilan (untuk keluar BN) bukan kerana marah tetapi demi masa depan parti.

Artikel Berkaitan:

“Bukan hendak kecilkan hati sesiapa tapi apa yang dilakukan ini ibarat anak hendak keluar dari rumah kerana ruang tidak ada lagi,” ujarnya.

Menyentuh mengenai kenyataan Ahmad Zahid bahawa beliau menghormati dan menerima dengan hati terbuka sebarang keputusan yang bakal dibuat MIC sekiranya parti itu memilih untuk keluar daripada gabungan berkenaan, Vigneswaran menyambut baik perkara tersebut.

Selain itu, beliau dalam masa sama turut memaklumkan, semua kepimpinan MIC dinasihatkan untuk tidak mengeluarkan kenyataan berhubung perkara tersebut bagi mengelakkan lebih banyak ketegangan berlaku.

 

 

Ringkasan AI

  • MIC terbuka bertemu dengan kepimpinan BN untuk bincang masa depan parti dalam gabungan
  • MIC tidak anggap BN dan UMNO sebagai musuh, sudah bersama lebih 60 tahun
  • Perjumpaan dengan BN belum diatur, tapi boleh berlaku bila-bila masa
  • Perwakilan MIC menyokong usul untuk keluar dari BN dalam AGM ke-79
  • Tarikh mesyuarat CWC MIC untuk bincangkan perkara tersebut akan berlangsung dalam tempoh terdekat

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!