'Sokongan masyarakat Cina terhadap Pas meningkat di Kampar' - Hafez

KAMPAR – Sokongan masyarakat Cina khususnya golongan muda di kawasan Parlimen Kampar terhadap Pas dilihat semakin meningkat.
Ketua Pemuda Pas Perak, Hafez Sabri berkata, senario itu dapat dilihat menerusi kehadiran mereka dalam program-program anjuran parti dan terbaharu hampir 35 anak muda menyertai program Bowling Santai bersama Pemuda Pas Perak baru-baru ini.
Menurutnya, meskipun program berkenaan julung kali dianjurkan sempena ia menerima sambutan menggalakkan daripada pemuda setempat, khususnya daripada masyarakat Cina.
"Penyertaan hampir 35 anak muda Cina ini menunjukkan mereka kini lebih terbuka untuk berinteraksi dan bekerjasama dengan Pas.
"Perkembangan ini berpotensi mengubah landskap politik pada masa akan datang, khususnya di Kampar,” katanya dalam satu kenyataan.
Hafez berkata, penganjuran program itu bertujuan meraikan golongan pemuda Cina sempena sambutan Tahun Baharu Cina yang bakal tiba tidak lama lagi, selain mengeratkan hubungan serta meningkatkan kefahaman antara kaum.

Sementara itu, Penyelaras Pas Parlimen Kampar, Hadi Azman yang juga tuan rumah program berkata, sambutan tersebut membuktikan sokongan masyarakat Cina terhadap Pas semakin meningkat dari semasa ke semasa.
Beliau berkata, tidak mustahil masyarakat bukan Islam akan memberikan sokongan kepada Pas memandangkan mereka melihat DAP tidak lagi relevan dalam memperjuangkan kepentingan kaum Cina.
Program tersebut turut dihadiri Ketua Lajnah Perpaduan Nasional Pemuda Pas Negeri Perak, Azmil Mubarak serta barisan Ahli Jawatankuasa Pemuda Pas Kampar.
Ringkasan AI
- Sokongan masyarakat Cina golongan muda di Parlimen Kampar terhadap Pas meningkat
- Hampir 35 anak muda Cina sertai program Bowling Santai anjuran Pemuda Pas Perak
- Program Bowling Santai mendapat sambutan menggalakkan dari masyarakat Cina setempat
- Penyertaan anak muda Cina menunjukkan keterbukaan berinteraksi dengan Pas
- Penganjuran program bertujuan mengeratkan hubungan dan meningkatkan kefahaman antara kaum
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


