Orang yang tenang tidak mudah menghakimi orang lain

TULAR sebuah video seorang lelaki ‘pempengaruh’ melabelkan pencinta kucing sebagai orang yang mempunyai sakit mental kerana terlalu obses terhadap haiwan tersebut.
Kenyataan sebegini cukup untuk membuat orang tersenyum sinis kerana siapa sangka perbuatan seseorang itu yang disebabkan terlalu menyayangi kucing, boleh dikategorikan sebagai sakit mental.
Merak Jalanan tidak tergamak melabel atau memberikan apa-apa gelaran kepada lelaki jenis ini walaupun tuduhannya dibuat secara jelas dan nyata.
Seseorang yang sering memberi label kepada orang lain sebenarnya sedang berperang dengan naratifnya sendiri.
Melabel adalah cara termudah untuk memuaskan rasa dalam hati yang mungkin disakiti kisah silam.
Dia kata pencinta kucing obses sedangkan apa yang dipanggil obses itu hanyalah perbuatan memberi kebaikan kepada makhluk lain.
Lebih ironi, pencinta kucing yang paling penyayang. Mereka beri makan, mandikan, rawat luka dan semuanya dengan duit poket sendiri tanpa mengharap apa-apa balasan.
Lelaki itu sendiri kelihatan galak melabelkan mana-mana golongan manusia dengan gelaran tertentu berbanding mempamerkan inisiatif sendiri yang benar-benar memberi manfaat kepada orang lain atau haiwan.
Biasanya, orang yang tenang tidak mudah menghakimi orang lain.
Orang yang bahagia pula tidak mudah ‘terpancing’ bertukar sikap apabila melihat orang lain melakukan kebaikan.
Terbaharu, lelaki itu turut menyebut ‘perempuan tugasnya kemas rumah dan kangkang je’.
Merak Jalanan rasa tergamam dan terus terfikirkan ibu di rumah. Sungguh biadab dan sangat kurang ajar apabila seorang anak menuduh ibu hanya buat tugas kemas rumah dan kangkang.
Akhir kata, jangan cuba ajar dunia tentang kehidupan berdasarkan ego sempit akibat kisah luka sendiri.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
