Kanak-kanak Rusia disengat ubur-ubur disahkan meninggal dunia

ALOR SETAR – [DIKEMAS KINI] Seorang kanak-kanak lelaki warga Rusia berusia dua tahun meninggal dunia pada pagi Rabu selepas lima hari bertarung nyawa akibat disengat ubur-ubur kotak ketika bermain di Pantai Chenang, Langkawi.
Mangsa, Vladimir Iakubanets mengalami komplikasi serius daripada sengatan haiwan laut beracun itu yang berlaku Sabtu lalu dan disahkan meninggal dunia pada jam 9.46 pagi di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini.
Bapanya, Nikita, 32, berkata insiden itu berlaku secara tiba-tiba semasa anaknya bermain di air cetek. Menurutnya, mangsa telah menjerit kesakitan dan isterinya terus mengangkatnya dari kawasan air tersebut.

"Isteri menyerahkan anak kepada saya dan dalam beberapa saat, dia berhenti bernafas. Saya lakukan CPR secepat mungkin dan pelancong lain turut membantu membawa kami kepada penyelamat pantai,” katanya pada Rabu.
Nikita yang yang bekerja sebagai jurutera teknologi maklumat di Khabarovsk, Rusia menjelaskan pasukan penyelamat mencuci luka dengan cuka sebelum membawa anaknya ke klinik dan kemudian ke hospital.
Beliau turut memaklumkan bahawa pasukan perubatan di Langkawi dan Alor Setar telah melakukan segala usaha untuk menyelamatkan anaknya dan keluarganya amat menghargai bantuan yang diberikan.
“Kami tidak berniat mengambil tindakan undang-undang. Kami cuma harap tragedi ini jadi peringatan kepada pengunjung pantai tentang bahaya ubur-ubur kotak,” katanya dalam nada sebak.
Isterinya, Olga, 32, turut menyifatkan Vladimir sebagai anak yang penyayang dan suka membantu sejak kecil.
“Dia wira kami... malaikat kecil kami. Setiap hari kami beritahu kami sayang dia dan dia selalu balas dia sayang kami,” katanya.
Pasangan itu merancang membawa abu Vladimir pulang ke Rusia selepas proses pembakaran mayat selesai. Sebelum ini, media melaporkan Vladimir menerima rawatan awal di Hospital Sultanah Maliha, Langkawi sebelum dipindahkan ke unit rawatan rapi (ICU) HSB.
Ubur-ubur kotak dikenali sebagai antara haiwan laut beracun dan sengatannya boleh menyebabkan kematian dalam masa singkat jika tidak dirawat segera.
Ringkasan AI
- Kanak-kanak lelaki warga Rusia berusia dua tahun meninggal akibat sengatan ubur-ubur di Pantai Chenang Langkawi
- Sengatan itu menjejaskan jantung dan menyebabkan kecederaan serius pada kakinya
- Pasukan perubatan Hospital Sultanah Bahiyah telah berusaha menyelamatkan nyawa kanak-kanak itu
- Ibu bapanya, Nikita dan Olga, merancang untuk membawa pulang abu mayat anak mereka ke Rusia
- Ini adalah kunjungan pertama keluarga tersebut ke Malaysia sejak tiba pada 14 November
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

