Suami menyusul selepas lima hari isteri tercinta pergi menghadap Ilahi

Kenangan antara Nurihsan (kiri) dan Wan Nur Farahana (kanan) bersama dua anak mereka.
Kenangan antara Nurihsan (kiri) dan Wan Nur Farahana (kanan) bersama dua anak mereka.
A
A
A

KOTA BHARU – Sempat memeluk dan mencium dua anak perempuannya sebelum tidur, menjadi detik terakhir seorang lelaki yang meninggal dunia lima hari selepas isterinya terkorban dalam kemalangan jalan raya di Bukit Belah, Machang.

Nurihsan Nordin, 33, yang juga pembantu jurutera di Klang, Selangor meninggal dunia di rumahnya di Teluk Kandis, Salor di sini kira-kira jam 5.30 pagi Khamis, sehari selepas dibenarkan keluar hospital petang Rabu.

Ibu saudara arwah, Wan Samira Wan Hussain, 37, berkata, lebih memilukan, sebelum tidur malam itu, dua anak perempuan Nurihsan, masing-masing berusia empat dan enam tahun sempat menyuapkan makanan kepadanya ketika makan malam bersama.

“Lima hari dirawat di hospital, keadaan Nurihsan menunjukkan tanda positif dan dibenarkan pulang.

“Dia boleh mandi sambil dipapah ke bilik air selain berbual dengan tetamu yang datang menziarah, namun esok paginya, dia meninggal dunia,” katanya kepada Sinar Harian.

Tanah perkuburan kedua-dua pasangan suami isteri yang meninggal dunia selepas kemalangan jalan raya.
Tanah perkuburan kedua-dua pasangan suami isteri yang meninggal dunia selepas kemalangan jalan raya.

Dalam kemalangan kira-kira jam 11 malam Sabtu lalu, kereta jenis Toyota Vios dinaiki pasangan itu bersama dua anak mereka bertembung dengan Proton Exora.

Mereka sekeluarga dalam perjalanan pulang dari Klang ke kampung halaman di Salor sempena cuti Deepavali.

Artikel Berkaitan:

Nahas itu mengorbankan isterinya, Wan Nur Farahana Wan Hassan, 34, yang meninggal dunia di tempat kejadian, manakala Nurihsan mengalami patah tulang pinggul dan cedera ringan di paru-paru.

Dua anak mereka yang duduk di bahagian belakang pula hanya mengalami lebam-lebam ringan.

Pihak keluarga juga memberitahu hanya mengetahui Wan Nur Farahana mengandung pada usia awal kehamilan, selepas mangsa terkorban dalam kemalangan itu.

Nurihsan pula dirawat di Hospital Machang sebelum dipindahkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II.

Wan Samira berkata, ketika van jenazah isterinya baru hendak keluar dari Hospital Machang untuk dibawa ke tanah perkuburan pada Ahad, Nurihsan juga baru menaiki ambulans untuk dipindahkan ke Kota Bharu.

“Tak berjanji pun nak bergerak sekali, tetapi ambulans dinaiki Nurihsan terserempak dengan van jenazah yang membawa arwah Wan Nur Farahana.

“Kedua-dua kenderaan itu kemudian bergerak bersama-sama ke Kota Bharu, ambulans ke hospital, manakala van jenazah ke tanah perkuburan,” katanya.

Menurut Wan Samira, sebelum itu, tiada ahli keluarga mengetahui pasangan itu balik ke kampung kerana sebelumnya Nurihsan memberitahu tidak jadi pulang akibat kepenatan bekerja.

Katanya, semasa melawat Nurihsan di hospital, lelaki itu menceritakan, mereka sekeluarga sempat patah balik ke Klang kerana suis pendingin hawa rumah lupa ditutup.

“Ingat dah tak jadi balik, tapi katanya, Wan Nur Farahana beria-ria mengajak mereka pulang ke kampung.

“Sebelum itu, Nurihsan sempat telefon ibunya memberitahu mereka berada di Gua Musang sebelum keluarga pula terkejut menerima panggilan pihak polis memaklumkan mereka terbabit kemalangan,” katanya.

Jenazah Allahyarham Nurihsan disemadikan di sebelah pusara isterinya di Tanah Perkuburan Islam Salor di sini selain juga bersebelahan kubur arwah ibu Wan Nur Farahana.

Ringkasan AI

  • Lelaki meninggal lima hari selepas isteri terkorban dalam kemalangan jalan raya di Bukit Belah, Machang
  • Sebelum meninggal, sempat memeluk dan mencium dua anaknya serta diberi suapan makanan oleh mereka
  • Pasangan tersebut dalam perjalanan pulang dari Klang ke Salor sempena cuti Deepavali ketika kemalangan
  • Nurihsan dirawat di hospital sebelum dibenarkan pulang namun meninggal esok paginya
  • Jenazah Nurihsan disemadikan di sebelah pusara isterinya di Tanah Perkuburan Islam Salor

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!