Kedah akan sediakan stok antibisa rawat sengatan ubur-ubur

ALOR SETAR - Kerajaan negeri Kedah sedang menyusun pendekatan terbaik bagi menyediakan antibisa yang diperlukan bagi rawatan kecemasan akibat sengatan ubur-ubur.
Exco Perumahan, Kesihatan dan Kerajaan Tempatan Kedah, Mansor Zakaria berkata, perkara itu akan dibincangkan menerusi mesyuarat dalam masa terdekat.
"Satu mesyuarat akan diadakan berkaitan kes yang berlaku ini termasuklah bagaimana untuk menyediakan stok antivenom, vaksin dan sebagainya yang diperlukan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu ketiadaan stok antibisa bagi merawat pesakit yang terkena sengatan ubur-ubur di hospital di negeri ini.
Sebelum ini, media melaporkan kenyataan Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan Kedah, Datuk Mohd Salleh Saidin berhubung perbincangan yang akan dilakukan dengan Mansor mengenai keperluan supaya antibisa untuk rawatan bagi mangsa yang terkena sengatan ubur-ubur disediakan di Hospital Sultanah Maliha.
Terdahulu, seorang kanak-kanak warga Rusia maut akibat sengatan ubur-ubur kotak ketika mandi di perairan Pulau Langkawi.
Mansor bagaimanapun mengakui bahawa vaksin atau antibisa bagi merawat sengatan itu belum disediakan di Kedah setakat ini.
"Kita sedia maklum dengan kes yang berlaku dan mengakui anti venom yang dibawa dari Pulau Pinang itu untuk rawatan kecemasan kepada anak pelancong Rusia ini... memang di Hospital Langkawi tiada stok.
"Jadi inilah yang kita boleh nyatakan pada hari ini, tapi bagaimanapun Insya-ALLAH pada 24 November ini Exco pelancongan akan bermesyuarat untuk tindakan awal pihak kita membabitkan kes ini," katanya.
Ringkasan AI
- Kerajaan negeri Kedah sedang merancang pendekatan terbaik untuk menyediakan antibisa bagi rawatan kecemasan sengatan ubur-ubur
- Mesyuarat akan diadakan untuk membincangkan penyediaan stok antivenom dan vaksin yang diperlukan
- Isu ketiadaan stok antibisa di hospital negeri Kedah telah dibangkitkan
- Seorang kanak-kanak warga Rusia maut akibat sengatan ubur-ubur kotak di Pulau Langkawi
- Adalah diakui bahawa vaksin atau antibisa untuk rawatan sengatan tersebut belum disediakan di Kedah setakat ini
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

