PN sedia memimpin Sabah, tawar kerajaan lebih stabil

KUALA LUMPUR - Perikatan Nasional (PN) menegaskan komitmennya untuk menawarkan kepimpinan yang stabil di Sabah dalam usaha mengelakkan ketidaktentuan politik yang sering melanda negeri itu setiap kali berlangsung pilihan raya negeri (PRN).
Fenomena kemunculan parti baharu pada setiap PRN Sabah terus mewarnai landskap politik negeri berkenaan, selain menyumbang kepada pertandingan banyak penjuru hampir di semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Timbalan Presiden Pas yang juga Pimpinan Tertinggi PN Pusat, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, keadaan itu menyebabkan undi berpecah sehingga kemenangan calon tidak semestinya menggambarkan kehendak majoriti pengundi.
"Walaupun kepelbagaian parti dianggap sebahagian daripada kematangan demokrasi, ketiadaan parti dominan dalam pembentukan kerajaan turut membuka ruang kepada aktiviti lompat parti serta usaha memujuk wakil rakyat menyertai pihak tertentu selepas pilihan raya," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, meskipun di peringkat Persekutuan wujud Akta Anti Lompat Parti melalui Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 (Akta A1663), perkembangan membabitkan enam Ahli Parlimen Bersatu yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri menunjukkan undang-undang berkenaan masih belum berfungsi sepenuhnya.
Situasi itu katanya, menimbulkan persoalan mengenai jaminan bahawa insiden sama tidak berulang di Sabah, lebih-lebih lagi apabila perbezaan jumlah kerusi antara parti kecil dan kerajaan mudah terdedah kepada ketidakstabilan.
Menurutnya, PN Sabah kini menampilkan barisan calon yang disifatkan bersih, berintegriti dan bersedia berunding dalam pembentukan kerajaan seperti ditekankan Pengerusinya, Datuk Seri Ronald Kiandee
"Pas sebagai komponen utama PN, turut sependapat bahawa kestabilan kerajaan perlu diutamakan bagi mengelakkan kegawatan politik yang akhirnya menyusahkan rakyat serta membazirkan masa dan sumber negara," katanya.
Beliau menambah, adalah lebih baik jika gabungan parti dapat dibentuk lebih awal supaya pertembungan merugikan semua pihak dapat dielakkan, namun sentimen politik dan keyakinan setiap parti terhadap peluang kemenangan masing-masing dilihat terus menyukarkan pembentukan kesepakatan sebelum hari pengundian.
Mengulas isu tuntutan pemulangan 40 peratus hasil Sabah, Tuan Ibrahim berkata, ia menjadi antara perkara utama yang dibawa hampir semua parti.
Katanya, PN menyokong pelaksanaan tuntutan berkenaan seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perlembagaan Persekutuan.
"Bagi PN, isu berkenaan bukan sahaja berkaitan jumlah hasil yang dipulangkan, tetapi turut menekankan aspek pengurusan hasil tersebut.
"Integriti, amanah dan tanggungjawab menjadi keutamaan kerana pulangan besar tidak membawa makna jika diurus individu yang terpalit rasuah atau penyelewengan," katanya.
Beliau menegaskan, PN Sabah yang dipimpin Ronald Kiandee bersama Timbalan Pengerusinya, Dr Ali Akbar, serta seluruh kepimpinan negeri komited memimpin dengan meletakkan rakyat sebagai keutamaan.
“Sabah berhak mendapat kerajaan yang stabil, makmur dan berprinsip. PN bersedia memikul amanah tersebut,” katanya.
Ringkasan AI
- Perikatan Nasional (PN) berkomitmen menawarkan kepimpinan stabil di Sabah untuk mengelak ketidaktentuan politik
- Kemunculan parti baru pada setiap PRN Sabah menyebabkan undi berpecah
- Wujud Akta Anti Lompat Parti tetapi insiden lompat parti masih berlaku
- PN Sabah menawarkan calon yang bersih dan berintegriti
- PN menyokong tuntutan pemulangan 40 peratus hasil Sabah seperti dalam Perjanjian Malaysia 1963 dan Perlembagaan Persekutuan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

