Anak Muammar Gaddafi maut ditembak

Saif al-Islam Gaddafi. -Agensi
Saif al-Islam Gaddafi. -Agensi
A
A
A

ZINTAN– Saif al-Islam Gaddafi, anak kepada bekas pemimpin Libya, Kolonel Muammar Gaddafi, dilaporkan maut selepas ditembak dalam satu serangan yang disyaki sebagai pembunuhan terancang.

Kematian tokoh berusia 53 tahun itu disahkan oleh ketua pasukan politiknya menurut Agensi Berita Libya.

Saif al-Islam sebelum ini dilihat sebagai pewaris utama kepada bapanya yang memerintah Libya selama lebih empat dekad.

Menurut peguamnya, Saif al-Islam ditembak mati di kediamannya di bandar Zintan oleh satu unit komando yang terdiri daripada empat lelaki.

Namun, pihak berkuasa belum mengenal pasti dalang di sebalik serangan tersebut.

Bagaimanapun, terdapat versi berbeza mengenai kejadian itu apabila saudara perempuannya memberitahu sebuah stesen televisyen Libya bahawa Saif al-Islam meninggal dunia berhampiran sempadan negara itu dengan Algeria.

Saif al-Islam merupakan antara tokoh paling berpengaruh dan digeruni di Libya selepas bapanya, yang digulingkan dan terbunuh dalam kebangkitan rakyat pada tahun 2011.

Dilahirkan pada 1972, beliau memainkan peranan penting dalam usaha Libya menjalinkan hubungan lebih rapat dengan negara Barat sejak tahun 2000, sebelum kejatuhan rejim Gaddafi.

Selepas kejatuhan bapanya, Saif al-Islam ditahan oleh sebuah militia pesaing di Zintan selama hampir enam tahun.

Artikel Berkaitan:

Beliau dituduh terlibat secara langsung dalam tindakan keras terhadap protes anti-kerajaan yang mencetuskan kebangkitan rakyat.

Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) sebelum ini mahu mengheretnya ke perbicaraan atas tuduhan jenayah terhadap kemanusiaan berkaitan penindasan demonstrasi pada 2011.

Pada tahun 2015, sebuah mahkamah Libya menjatuhkan hukuman mati secara in absentia terhadapnya.

Walaupun tidak memegang sebarang jawatan rasmi dalam kerajaan, Saif al-Islam berpengaruh besar dalam pembentukan dasar dan rundingan berprofil tinggi, termasuk perjanjian yang membawa kepada Libya meninggalkan program senjata nuklearnya.

Langkah itu menyaksikan sekatan antarabangsa terhadap negara Afrika Utara tersebut ditarik balik, dan beliau ketika itu dianggap oleh sesetengah pihak sebagai wajah reformasi Libya.

Saif al-Islam sebelum ini menafikan hasrat mewarisi kuasa bapanya dengan menyatakan bahawa kuasa bukan 'ladang untuk diwarisi'.

Namun, pada tahun 2021, beliau mengumumkan hasrat bertanding dalam pilihan raya presiden Libya yang akhirnya ditangguhkan tanpa tempoh masa yang ditetapkan.- Agensi

 

 

Ringkasan AI

  • Saif al-Islam Gaddafi, anak kepada bekas pemimpin Libya, ditembak mati dalam satu serangan yang disyaki sebagai pembunuhan terancang
  • Kematian Saif al-Islam berusia 53 tahun disahkan oleh ketua pasukan politiknya
  • Saif al-Islam ditembak mati di kediamannya di Zintan oleh satu unit komando yang terdiri daripada empat lelaki
  • Terdapat versi berbeza tentang kejadian kematiannya, termasuk laporan bahawa dia meninggal dunia berhampiran sempadan dengan Algeria
  • Saif al-Islam merupakan antara tokoh paling berpengaruh dan digeruni di Libya, memainkan peranan penting dalam usaha Libya menjalinkan hubungan lebih rapat dengan negara Barat sebelum kejatuhan rejim Gaddafi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!