Penerimaan rakyat Sabah terhadap PH amat positif - Nurul Izzah

Nurul Izzah. Foto Bernama
Nurul Izzah. Foto Bernama
A
A
A

PENAMPANG - Penerimaan rakyat Sabah terhadap Pakatan Harapan (PH) serta calon parti itu yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 dilihat sangat positif, kata Timbalan Presiden, PKR Nurul Izzah Anwar.

Beliau berkata, kunjungan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Sabah minggu lepas, serta memberikan keutamaan kepada pengiktirafan ekonomi negeri sebelum kempen pilihan raya bermula, antara faktor yang membawa reaksi positif penduduk.

Menyifatkan kebanyakan rakyat di Negeri Di Bawah Bayu sebagai amat peramah, Nurul Izzah berkata, ia seterusnya mencerminkan keterbukaan rakyat untuk menilai tawaran PH semasa berkempen dengan berdasarkan fakta dan rekod pelaksanaan setakat ini.

"Kami minta supaya pilihan (pengundi) berasaskan fakta dan saya amat bersyukur dengan respons yang sangat positif,” katanya kepada pemberita semasa mengadakan Tinjauan Mesra Dewan Undangan Negeri (DUN) Moyog di Pasar Tamu Donggongon di sini pada Rabu, yang turut disertai calon PH Remysta Jimmy Taylor.

Nurul Izzah yang juga Pengarah Bersama Kempen Pilihan Raya PKR berkata, komitmen dan khidmat parti kepada rakyat tidak terhenti selepas tamat kempen.

"Selepas berkempen dan hari mengundi, ialah bagaimana mereka boleh memberikan khidmat dan cuba menyelesaikan masalah (rakyat) dalam jangka pendek, pertengahan dan panjang kerana kita tahu, bukan semua boleh diselesaikan 24 jam,” katanya.

Pada kunjungan itu, Nurul Izzah yang meluangkan masa lebih sejam disambut mesra peniaga dan pengunjung pasar yang tidak melepaskan peluang bergambar serta merakam video sebagai kenangan.

Peniaga dan pengunjung juga tidak ketinggalan menyanyikan lagu "Selamat Hari Jadi” untuk meraikan ulang tahun kelahiran Nurul Izzah pada Rabu.

Hari pengundian PRN Sabah ke-17 ditetapkan pada 29 November manakala undi awal pada 25 November.

Artikel Berkaitan:

Mengikut statistik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sebanyak 1,784,843 pengundi layak menjalankan tanggungjawab mereka pada PRN kali ini terdiri daripada 1,760,417 pengundi biasa, 11,697 anggota tentera berserta pasangan dan 12,729 anggota polis dengan pasangan. - Bernama

Ringkasan AI

  • Penerimaan rakyat Sabah terhadap Pakatan Harapan dan calonnya sangat positif
  • Kunjungan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pengiktirafan ekonomi negeri memberi impak positif
  • Rakyat Sabah dilihat peramah dan terbuka menilai tawaran PH berdasarkan fakta
  • Nurul Izzah bersyukur dengan respons positif dan menekankan komitmen parti selepas pilihan raya
  • Sejumlah 1,784,843 pengundi layak mengundi pada PRN Sabah ke-17

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!