Tuduhan Rafizi hanya serlahkan perwatakan sendiri- Wan Fauzuldin

KUANTAN – Kenyataan bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli yang mendakwa Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai obsesi untuk menjadi Perdana Menteri ditempelak sebagai satu cubaan untuk menutup kelemahan peribadi beliau sendiri.
Ketua Cabang PKR Paya Besar, Wan Fauzuldin Wan Samad berkata, dakwaan Rafizi itu dilihat jauh panggang daripada api kerana sejarah telah membuktikan bahawa Anwar merupakan seorang pejuang yang sanggup melalui jalan sukar demi prinsip, bukan sekadar mengejar kedudukan.
Menurutnya, rekod perjuangan Anwar bermula sejak zaman mahasiswa melalui demonstrasi Baling bagi membela nasib petani serta penubuhan Yayasan Anda, yang menjadi bukti nyata pengorbanan beliau dan tidak boleh dipadamkan daripada lipatan sejarah.
“Rafizi sebenarnya tahu siapa Anwar. Jika Presiden PKR itu obses mengejar jawatan Perdana Menteri, beliau tidak perlu bersusah payah berdepan fitnah dan penghinaan selama berpuluh tahun.
“Memadai bagi beliau menjadi pengampu dan ‘penjilat’ Tun Dr Mahathir Mohamad suatu ketika dahulu, nescaya sudah lama beliau memegang jawatan tersebut tanpa perlu masuk penjara,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Beliau mengulas laporan sebuah portal berita baru-baru ini, di mana Rafizi menegaskan bahawa beliau tidak mempunyai obsesi untuk menjadi Perdana Menteri, satu ketaksuban yang menurutnya telah membentuk perjalanan politik Anwar.
Mengulas lanjut, Wan Fauzuldin mempersoalkan kredibiliti Ahli Parlimen Pandan itu yang didakwanya hanya dikenali melalui slogan reformasi yang dipelopori oleh Anwar, manakala inisiatif sendiri seperti Invoke dan slogan ‘Ayuh’ kini seolah-olah sudah lenyap.
Ujar beliau, Rafizi sebenarnya adalah individu yang obses terhadap jawatan tinggi sehingga menunjukkan sikap sukar menerima kekalahan dalam pemilihan parti.
“Rekod menunjukkan Rafizi sering ‘merajuk’ setiap kali kalah. Selepas tewas kepada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, beliau bercuti daripada politik hampir dua tahun.
“Terbaharu, selepas tewas besar kepada Nurul Izzah Anwar bagi jawatan Timbalan Presiden, Rafizi sekali lagi bertindak meletakkan jawatan dalam Kabinet. Ini jelas menunjukkan beliau tidak mampu menerima kekalahan,” tegas beliau.
Wan Fauzuldin turut mendakwa tindakan Rafizi yang kini saban hari mencari kelemahan kerajaan dan Anwar hanyalah satu bentuk luahan kekecewaan selepas kehilangan pengaruh dalam kepimpinan pusat.
“Terlalu obses sehingga beliau menuding jari kepada ramai pihak yang mengakibatkan beliau kalah teruk.
“Jadi rakyat boleh menilai, siapa sebenarnya yang obses?” katanya.
Ringkasan AI
- Kenyataan Rafizi Ramli mengenai obsesi Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri ditempelak oleh Ketua Cabang PKR Paya Besar, Wan Fauzuldin Wan Samad
- Wan Fauzuldin menyatakan Anwar adalah pejuang prinsip dan bukan sekadar mengejar kedudukan
- Anwar mempunyai rekod perjuangan sejak zaman mahasiswa, membuktikan pengorbanannya tidak boleh dipadamkan dari sejarah
- Wan Fauzuldin menegaskan jika Anwar obses, beliau tak perlu susah payah melawan fitnah selama bertahun-tahun
- Rafizi dituduh sebagai individu yang sebenarnya obses dengan jawatan tinggi dan sukar menerima kekalahan dalam pemilihan parti
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

