Siasatan kes rasuah ADUN Sabah belum dipadam, ditutup - PM

Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim
A
A
A

KUALA LUMPUR - Siasatan berhubung video kes rasuah yang dikaitkan dengan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah masih belum ditutup atau dipadam.

Justeru Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan dakwaan kononnya kerajaan melindungi sesetengah pihak yang terlibat dalam kes rasuah berkenaan.

"Saya sendiri menonton (video yang tersebar) dan anggap video itu hujahnya kuat untuk disiasat dan pihak yang menyiasat adalah SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia).

"Menurut keterangan SPRM, (kes itu) sudah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara. Setakat ini (untuk) kes jenayah, dia tak ada 'time limitation' (had masa), jadi kena sabar sebab setakat ini tiga (individu) sudah didakwa tetapi kita tidak lepaskan semua yang lain.

"(Persoalan) mengapa ada dakwa tiga, kerana (mereka) ada 'compelling case' (kes yang meyakinkan) tetapi yang lain, kes mereka tidak pernah dipadam atau ditutup," katanya ketika Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) mengenai status dakwaan kes rasuah melibatkan beberapa ADUN Sabah yang belum dikenakan tindakan, sebaliknya ada antara mereka kini menjadi calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Dalam pada itu, Anwar menegaskan, beliau tidak mahu mencampuri urusan siasatan dengan mengarahkan supaya kes itu didakwa berdasarkan video yang tular.

"Saya tidak mahu mengarahkan. Mesti dakwa (mereka) berdasarkan video (yang tular itu) saya tidak boleh (buat begitu).

"Ini yang kadang-kadang kenyataan saya diputar belit," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

 

 

Ringkasan AI

  • Siasatan kes rasuah ADUN Sabah masih berjalan dan belum ditutup
  • Perdana Menteri menafikan kerajaan melindungi pihak terlibat
  • SPRM bertanggungjawab menyiasat dan kes sudah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara
  • Setakat ini tiga individu sudah didakwa tanpa mengabaikan siasatan terhadap yang lain
  • Anwar tidak mahu campur tangan dalam siasatan atau dakwaan berdasarkan video yang tular

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!