Pas kekal perkukuh PN, tidak bergerak solo – Ahmad Samsuri

Ahmad Samsuri
Ahmad Samsuri
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Pas menafikan desas-desus bahawa parti itu akan bergerak secara solo pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) sebaliknya menegaskan akan memberi komitmen penuh bagi memperkukuhkan hubungan bersama rakan gabungan Perikatan Nasional (PN).

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, keseluruhan kepimpinan tertinggi parti telah menyatakan pendirian jelas bahawa keutamaan ketika ini adalah mengukuhkan hubungan antara rakan gabungan PN.

“Buat masa ini tidak timbul Pas bergerak secara solo kerana kita sentiasa memberi komitmen. Kepimpinan tertinggi parti juga telah membuat kenyataan bahawa antara perkara paling besar yang ingin dilakukan sekarang ialah memperkukuhkan PN.

"Jadi, kita sedar realiti politik semasa negara dan akan terus memperkuatkan PN," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Menandatangani MoA Yayasan Terengganu dan Batik Air di Wisma Darul Iman di sini pada Rabu.

Mengulas mengenai konflik kepimpinan dalam PN, Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden Pas berkata, perkara itu dijangka dapat diselesaikan menerusi Mesyuarat Majlis Tertinggi PN yang akan diadakan selepas ini.

"Insya-ALLAH, apabila Mesyuarat Majlis Tertinggi PN diadakan, perkara ini (konflik hubungan) dapat diselesaikan. Namun, saya sendiri tidak pasti bila mesyuarat itu akan berlangsung,” katanya.

Dalam pada itu, ditanya mengenai ura-ura pelantikan individu termasuk beliau sebagai Pengerusi PN, Ahmad Samsuri mengakui beliau tidak mempunyai maklumat lanjut berhubung perkara tersebut.

"Saya tidak tahu kerana saya bukan lagi ahli mesyuarat. Nanti apabila sampai waktu dan ketika, kita akan lihat bagaimana keputusannya," jelasnya.

Sebelum ini, media melaporkan pemimpin gabungan PN mengadakan pertemuan di kediaman Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi menggantikan mesyuarat khas Majlis Tertinggi PN yang dibatalkan pada saat-saat akhir oleh Timbalan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Artikel Berkaitan:

​Bagaimanapun, tiada wakil Pas termasuk Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang hadir pada pertemuan berkenaan sebaliknya Pas mengadakan permukiman parti selama tiga hari bermula dari Jumaat lalu dipercayai turut membincangkan hala tuju kerjasama dengan rakan komponen PN serta persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) dan PRU16.

Ringkasan AI

  • Pas menafikan akan bergerak solo dalam PRU16 dan komited memperkukuhkan hubungan dengan Perikatan Nasional
  • Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, menegaskan keutamaan parti adalah mengukuhkan hubungan dengan PN
  • Kenyataan kepimpinan tertinggi Pas tentang memperkuatkan PN menunjukkan kesedaran terhadap realiti politik semasa
  • Konflik kepimpinan dalam PN dijangka dapat diselesaikan menerusi Mesyuarat Majlis Tertinggi PN yang akan datang
  • Pas tidak menghadiri pertemuan pemimpin PN yang diadakan di kediaman Presiden Bersatu, tetapi mengadakan permukiman parti yang juga membincangkan kerjasama dengan PN

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!