JIM cari dalang salah guna PLKS pembantu rumah

KUALA LUMPUR - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sedang mengenal pasti dalang melibatkan modus operandi warga asing yang menyalah guna Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) sebagai pembantu rumah, namun bekerja di sektor lain.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, setakat ini kes membabitkan pembantu rumah menyalahgunakan PLKS tidak terlalu serius, susulan tindakan penguatkuasaan yang dijalankan.
Bagaimanapun, jelas beliau, JIM tetap akan memantau secara serius supaya modus operandi seperti itu tidak berterusan.
“Perkara ini dalam tindakan JIM untuk kita kenal pasti dalang dan jika ada maklumat daripada orang awam, saya mengalu-alukan mereka menyalurkan keapda kita untuk diambil tindakan segera.
"Kita juga percaya ada sebahagian termasuk pelayan pelanggan dan sebagainya menggunakan pas PLKS pembantu rumah tetapi bekerja di tempat lain.
"Walaupun mereka ada pas yang sah, namun ia disalah gunakan. Jadi dalam kes ini, ia kesalahan menyalahgunakan pas,” katanya kepada pemberita ketika ditemui dalam Majlis Sambutan Deepavali Peringkat JIM Kuala Lumpur di sini pada Selasa.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan seorang pembantu rumah warga Filipina ditahan pada Ahad kerana disyaki menyalah gunakan pas untuk tinggal di Malaysia dan menjadi presiden sebuah badan bukan kerajaan (NGO).
Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff dilaporkan berkata, wanita berusia 50-an itu ditahan ketika sedang berkumpul bersama beberapa rakan senegara di sebuah sekolah antarabangsa.
Siasatan awal mendapati wanita terbabit masuk ke Malaysia menggunakan PLS kira-kira dua dekad lalu dan menggunakan PLKS kategori pembantu rumah untuk terus tinggal di Malaysia.
Dalam perkembangan lain, Zakaria berkata, tahun ini bagi tempoh sehingga 17 November, JIM melaksanakan 12,462 operasi penguatkuasaan di seluruh negara, melibatkan pemeriksaan terhadap 213,454 warga asing.
“Daripada jumlah itu, 45,447 orang ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen, manakala 1,931 majikan turut dikenakan tindakan termasuk kompaun dan pendakwaan di mahkamah,” katanya.
Beliau berkata, kesalahan paling ketara yang dikesan ialah tiada dokumen perjalanan sah serta salah guna pas.
Diikuti kes-kes jenayah lain termasuk dadah yang diterima daripada agensi penguat kuasa lain sebelum diserahkan semula kepada JIM untuk tindakan lanjut seperti pembatalan pas dan pengusiran.
Ringkasan AI
- Jabatan Imigresen Malaysia mengenal pasti dalang modus operandi salah guna Pas Lawatan Kerja Sementara oleh warga asing
- Walaupun kes tidak terlalu serius, pihak berkuasa akan pantau dan ambil tindakan tegas
- Pembantu rumah disalahgunakan untuk bekerja di sektor lain dengan menggunakan pas sah
- Seorang warga Filipina ditahan kerana salah guna pas untuk menjadi presiden NGO
- Sehingga 17 November, 12,462 operasi penguatkuasaan dilaksanakan dengan 45,447 warga asing ditahan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
