Kompaun perniagaan warga asing di Johor naik lima kali ganda - Exco

Mohd Jafni ketika menjawab soalan lisan ketika sidang DUN Johor di Kota Iskandar pada Rabu.
Mohd Jafni ketika menjawab soalan lisan ketika sidang DUN Johor di Kota Iskandar pada Rabu.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Usaha mengekang lambakan perniagaan warga asing tanpa kebenaran di negeri ini diperkukuh pihak berkuasa tempatan (PBT) menerusi tindakan penguatkuasaan lebih tegas, sekali gus mencatat peningkatan nilai kompaun lima kali ganda pada tahun ini.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, berdasarkan laporan 16 PBT bagi tempoh Disember tahun lalu hingga Oktober tahun ini, nilai kompaun yang dikeluarkan melonjak daripada RM30,000 kepada RM180,000.

Menurutnya, PBT melaksanakan pelbagai bentuk penguatkuasaan termasuk pemeriksaan lesen, serbuan, sitaan, pengeluaran kompaun, pembatalan dan penutupan premis serta rampasan lesen mengikut tahap kesalahan.

“Sepanjang tempoh sama, PBT turut mengeluarkan 158 notis kesalahan, 304 kompaun dan melakukan 552 tindakan sitaan.

"Ada premis turut dikenakan penutupan sementara dengan pemasangan tali kuning sebagai langkah mengelakkan pengulangan kesalahan,” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar pada Rabu.

Beliau menjawab soalan Tan Eng Meng (BN–Pekan Nanas) mengenai tindakan terhadap premis yang dimiliki atau dikendalikan warga asing tanpa kebenaran.

Mohd Jafni berkata, operasi turut dijalankan secara bersepadu melalui rondaan harian, pemeriksaan berkala dan operasi besar-besaran melibatkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Jabatan Tenaga Kerja.

Katanya, penguatkuasaan ini berpandukan Undang-Undang Kecil Pelesenan, Akta 171 serta peraturan imigresen, disokong pemantauan berjadual dan pemberitahuan kepada pemilik premis bagi menghalang pemindahan lesen secara tidak sah atau penyalahgunaan premis oleh warga asing.

Dalam pada itu, Mohd Jafni memaklumkan akan mewujudkan garis panduan baharu bagi mengekang kebanjiran peniaga warga asing di kawasan pekan, kampung dan Felda.

Artikel Berkaitan:

Katanya, usaha itu dilihat perlu kerana ketika ini dapat dilihat kewujudan kedai warga asing semakin banyak berbanding warga tempatan.

"Apabila kita lihat di kawasan kampung, Felda dan pekan, kedai-kedai runcit orang tempatan semakin hari semakin kurang sebab mereka tidak boleh bersaing dengan warga asing yang menjual dengan harga lebih murah.

"Sudah sampai masanya kita buat garis panduan yang baharu secara hikmah supaya warga asing tidak boleh berniaga di kampung, pekan dan Felda," katanya.

Ringkasan AI

  • Usaha mengekang lambakan perniagaan warga asing tanpa kebenaran diperkukuh oleh PBT dengan tindakan penguatkuasaan lebih tegas
  • Nilai kompaun yang dikeluarkan melonjak daripada RM30,000 kepada RM180,000 dari Disember tahun lalu hingga Oktober tahun ini
  • PBT melaksanakan pelbagai bentuk penguatkuasaan termasuk pemeriksaan lesen, serbuan, dan penutupan premis
  • Operasi penguatkuasaan dijalankan secara bersepadu dengan kerjasama beberapa agensi seperti Jabatan Imigresen Malaysia dan Polis Diraja Malaysia
  • Akan diwujudkan garis panduan baharu untuk mengekang kebanjiran peniaga warga asing di kawasan pekan, kampung dan Felda

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!