Penemuan enam rangka manusia: Dua suspek tiba di mahkamah

JOHOR BAHRU - Dua suspek dalam kes penemuan enam rangka termasuk lima sekeluarga di sebuah rumah yang terbakar di kawasan kebun kelapa sawit di Kangkar Pulai, Skudai awal bulan lalu, tiba di Kompleks Mahkamah di sini, untuk menghadapi pertuduhan.
Dua lelaki warga tempatan itu tiba jam 9 pagi dengan menaiki kenderaan polis diiringi anggota polis termasuk pegawai penyiasat kes.
Mereka akan dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan maksimum 40 tahun serta sebatan tidak kurang 12 kali.
Suspek-suspek yang dipercayai mempunyai hubungan sebagai rakan kepada dua mangsa dewasa dilihat memakai pakaian biasa dengan tangan bergari secara berasingan.
Pada Selasa, enam rangka manusia termasuk lima sekeluarga yang dipercayai telah meninggal dunia lebih tiga bulan ditemukan di sebuah rumah yang terbakar di kawasan kebun kelapa sawit di Kangkar Pulai, Skudai bulan lepas.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, suami kepada seorang daripada mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri pada 9 Januari lepas, setelah menemui rangka manusia ketika mencari isteri dan anak-anaknya yang dilaporkan hilang.
Susulan penemuan itu, pasukan patologi forensik dari Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Johor menjalankan pemeriksaan dan bedah siasat ke atas rangka yang telah dijumpai di rumah yang terletak berhampiran sebuah kuil terbiar itu.
Katanya, siasatan mendapati enam mangsa itu terdiri seorang wanita dewasa berusia 35 tahun, seorang remaja perempuan 19 tahun, dua kanak-kanak perempuan sembilan dan lima tahun, seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun dan seorang lelaki dewasa berusia 29 tahun.
Beliau dilaporkan berkata, polis masih menyiasat tempoh masa semua mangsa ini dilaporkan hilang, namun dipercayai sudah meninggal dunia lebih tiga bulan sebelum ditemukan.
Hasil siasatan dan risikan lanjut, polis menahan empat suspek warga tempatan terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita berusia antara 19 dan 35 tahun di sekitar Iskandar Puteri pada 21 Januari lalu bagi membantu siasatan.
Hasil semakan mendapati semua suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian saringan awal air kencing mendapati tiga daripada mereka positif dadah.
Ringkasan AI
- Dua suspek dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan berkaitan pembunuhan yang berlaku di Kangkar Pulai, Skudai
- Suspek-suspek itu boleh dihukum mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan
- Penemuan enam rangka manusia termasuk lima sekeluarga di sebuah rumah terbakar
- Ketua Polis Johor mengatakan mangsa dipercayai telah meninggal lebih dari tiga bulan sebelum ditemukan
- Empat suspek lain ditahan untuk membantu siasatan, dengan tiga daripada mereka didapati positif dadah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

