Presiden NGO warga Filipina salah guna pas tinggal di Malaysia

KUALA LUMPUR - Seorang pembantu rumah warga Filipina yang juga presiden sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ditahan kerana disyaki menyalahgunakan pas untuk tinggal di Malaysia pada Ahad.
Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, wanita berusia 50-an itu ditahan ketika sedang berkumpul bersama beberapa rakan senegara di sebuah sekolah antarabangsa di sini.
"Wanita terbabit masuk ke Malaysia menggunakan Pas Lawatan Sosial (PLS) kira-kira dua dekad lalu dan menggunakan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) kategori pembantu rumah untuk terus tinggal di Malaysia.
“Pas itu hanya membenarkan warga asing bekerja sebagai pembantu rumah di alamat majikan yang didaftarkan mengikut syarat Akta Imigresen 1959/63 dan peraturan-peraturan Imigresen 1963," katanya pada Isnin.
Wan Mohammed Saupee berkata, pihaknya menerima maklumat bahawa warga asing terbabit dilantik sebagai presiden sebuah NGO dan melakukan aktiviti yang boleh dianggap sebagai pekerjaan atau pemimpin badan formal.
“Semakan juga mendapati NGO terbabit tidak berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia,” jelasnya.
Menurutnya, hasil risikan mendapati wanita itu menghadiri mesyuarat rasmi, menguruskan kutipan dana, mengetuai program luar dan mengeluarkan kenyataan umum sebagai presiden NGO terbabit.
"Aktiviti berkenaan dianggap satu bentuk pekerjaan atau penyertaan organisasi tanpa kebenaran yang bertentangan dengan syarat pas pembantu rumah," ujarnya.
Beliau berkata, warga asing berkenaan tidak pernah memohon untuk mengubah syarat pas atau menukar kategori pas kepada pas profesional melalui JIM.
“Selain itu Jabatan Pembangunan Kemahiran Malaysia (JPK) mendapati sijil-sijil yang dikeluarkan oleh warga asing berkenaan tidak mendapat kebenaran dari pihak kerajaan,” tambahnya.
Ringkasan AI
- Seorang pembantu rumah warga Filipina ditahan kerana menyalahgunakan pas untuk tinggal di Malaysia
- Wanita itu menggunakan Pas Lawatan Kerja Sementara untuk terus tinggal di Malaysia
- Terlibat sebagai presiden NGO yang tidak berdaftar
- Melakukan aktiviti dianggap sebagai pekerjaan tanpa kebenaran
- Tidak pernah memohon untuk mengubah syarat pas atau menukar kategori pas
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
