Mengaku rakyat Malaysia tapi tak tahu nyanyi lagu Negaraku

PELABUHAN KLANG – Helah seorang wanita warga India menyamar sebagai rakyat tempatan terbongkar apabila gagal menyanyikan lagu Negaraku ketika diminta berbuat demikian dalam Ops Sapu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Pangsapuri Pendamar B di sini pada Rabu.
Wanita berusia lingkungan 30-an itu awalnya mendakwa dirinya warga tempatan, namun terdiam ketika diminta menyambung rangkap pertama lagu kebangsaan sebelum menangis dan merayu supaya dilepaskan.
Suasana ketika serbuan turut menjadi kecoh apabila beberapa pendatang asing tanpa izin (PATI) cuba melarikan diri, termasuk seorang lelaki yang nekad terjun dari tingkap tingkat satu tetapi berjaya ditahan tidak jauh dari lokasi.
Selain itu terdapat beberapa warga asing yang bertindak bersembunyi di bilik air, mematikan lampu rumah serta melarikan diri menggunakan tangga kecemasan bagi mengelak diperiksa.
Penduduk di kawasan itu sebelum ini mendakwa jumlah warga asing meningkat sejak beberapa tahun lalu sehingga menimbulkan rasa tidak selesa.
Dakwa penduduk, warga asing sebelum ini turut dipercayai membuang sampah dari tingkat atas sehingga mencemarkan kawasan perumahan.

Serbuan turut membongkar sebuah unit rumah sewa yang dijadikan lokasi penagihan dadah membabitkan dua wanita warga Indonesia dan seorang lelaki tempatan.
Lelaki itu didakwa cuba melupuskan bahan dipercayai dadah sebaik menyedari kehadiran pasukan operasi, namun tindakannya disedari sebelum dia ditahan.
Timbalan Ketua Pengarah Operasi JIM, Datuk Lokman Effendi Ramli berkata, operasi dijalankan bermula jam 8.30 malam itu disertai 78 pegawai JIM Selangor.
"Operasi melibatkan pemeriksaan seramai 285 individu, daripada jumlah itu, seramai 95 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan melibatkan warga Indonesia, Bangladesh, India, Myanmar dan Nepal, berusia 16 hingga 50 tahun melibatkan 70 lelaki dan 25 wanita.
"Antara kesalahan yang dikenal pasti adalah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, pemegang kad yang tidak diiktiraf dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen," katanya dalam sidang akhbar di lokasi pada Rabu.
Katanya, hasil operasi menunjukkan kawasan itu memang menjadi tumpuan warga asing tanpa dokumen sah.

"Semua individu ditahan dibawa ke Depot Imigresen Semenyih untuk siasatan lanjut.
"Operasi ini dilaksanakan secara berterusan untuk mengesan, menangkap, mendakwa dan mengusir warga asing yang melanggar undang-undang negara seperti di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007," katanya.
Tambahnya, operasi penguatkuasaan seumpamanya akan diteruskan di lokasi panas yang dikenal pasti menempatkan warga asing tanpa dokumen sah.
"Orang ramai dan majikan diingatkan supaya tidak melindungi PATI atau mereka boleh berhadapan dengan tindakan undang-undang.
"Sekiranya mempunyai maklumat tentang PATI atau sebarang maklumat yang boleh membantu penguatkuasaan, salurkan kepada JIM," katanya.
Ringkasan AI
- Helah seorang wanita warga India menyamar sebagai rakyat tempatan terbongkar apabila gagal menyanyikan lagu Negaraku
- Ops Sapu Jabatan Imigresen Malaysia membongkar sebuah unit rumah sewa sebagai lokasi penagihan dadah
- Seramai 95 pendatang asing tanpa izin ditahan dalam operasi yang melibatkan pemeriksaan 285 individu
- Kesalahan yang dikenal pasti termasuk tiada dokumen pengenalan diri dan tinggal lebih masa
- Operasi ini dilaksanakan untuk mengesan dan menangkap warga asing yang melanggar undang-undang negara
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

